Tuesday 8 November 2016

KPN Buta Perundangan Dan Perlembagaan - Mahfuz Omar




Kenyataan media Dato Mahfuz Omar di facebooknya pada 7 November 2016 membidas Ketua Polis Negara tentang kefahaman beliau tentang perundangan dan perlembagaan berhubung dengan siasatan polis terhadap tiga bekas menteri baru-baru ini.

Kenyataan beliau adalah seperti di bawah

SIASATAN POLIS TERHADAP TIGA BEKAS MENTERI BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.

1.Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar sewaktu diwawancara wakil media pada 4 November 2016 di mana KPN menyatakan siasatan yang sedang dijalankan polis ke atas tiga (3) orang bekas Menteri berkaitan dengan ucapan yang disampaikan mereka yang menyentuh berkaitan skandal *_1MDB_* di Dewan Rakyat adalah dibuat di bawah Akta Hasutan, selain dari Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menurut beliau, siasatan kes 1MDB masih sedang berjalan.

2. "Saya tidaklah ambil pusing sangat sebelum ini kerana yang membuat bising menuntut supaya tindakan undang-undang diambil ke atas tiga bekas Menteri tersebut adalah dari kalangan pemimpin-pemimpin UMNO atau NGO-NGO ‘belaan’ Umno, tetapi apabila KPN sendiri mengeluarkan kenyataan yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan, ianya menggambarkan betapa jahil dan ceteknya pengetahuan orang nombor satu PDRM berkaitan asas undang-undang dan Perlembagaan".

3. KPN harus faham bahawa secara umumnya hak mana-mana Ahli Parlimen untuk bercakap berkaitan apa sahaja perkara sewaktu berbahas di Parlimen adalah dilindungi oleh hak keistimewaan (parliamentary privileges)dan kekebalan dari sebarang tindakan undang-undang sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab itu, jika benar sekalipun terdapat pelanggaran terhadap Akta Rahsia Rasmi (OSA), ianya tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah dan tidak boleh didakwa oleh kerana ucapan yang dibuat di dalam Parlimen adalah dilindungi dan kebal dari sebarang tindakan mahkamah.

4. Bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan turut memberi pengecualiaan terhadap hak keistimewaan dan kekebalan tersebut. Perkara 63 (4) memperuntukkan mana-mana ahli Parlimen tidak akan dilindungi atau tidak kebal dari tindakan undang-undang sekiranya Ahli Parlimen tersebut mengeluarkan ucapan atau berbahas yang menyentuh isu-isu sensitif melibatkan agama, kaum dan keistimewaan bumiputera yang boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atau di bawah mana-mana undang lain yang dibuat di berdasarkan Perkara 10 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Tidak nafikan di dalam sejarah negara kita, memang pernah berlaku Ahli Parlimen didakwa dan disabitkan di bawah Akta Hasutan oleh kerana ucapan yang dibuat di dalam Parlimen sebagaimana kes yang melibatkan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Mendiang Dato Mark Koding pada tahun 1970-an.

KPN BUTA PERUNDANGAN DAN PERLEMBAGAAN

5. Namun di dalam situasi yang kita hadapi sekarang ini, jika kita memperhalusi peruntukan Akta Hasutan, kita akan mendapati tindakan membahas atau membangkitkan isu governans, kewangan dan jenayah seperti skandal 1MDB tidak langsung termasuk di dalam definisi ‘kecenderungan menghasut’ sebagaimana yang dinyatakan di dalam Seksyen 3(1) akta tersebut.

Bahkan jika disemak di dalam hansard Parlimen, perbahasan berkaitan skandal 1MDB selama ini, samada oleh tiga bekas Menteri berkenaan atau mana-mana Ahli Parlimen sekalipun, jauh sekali untuk dianggap sebagai menyentuh atau mempersoalkan apa-apa perkara, kedudukan atau keistimewaan yang ditetapkan oleh Perlembagaan berkaitan dengan kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa Bumiputra atau hak kerakyatan sebagaimana yang dikategorikan di dalam Akta Hasutan sebagai berunsur hasutan.

6. Saya tidak faham dari mana nasihat atau tunjuk ajar soal asas undang-undang yang KPN dapat, apabila secara semberono beliau mengatakan perbahasan tiga bekas Menteri di dalam Parlimen yang menyentuh kes 1MDB boleh ditafsirkan sebagai suatu kesalahan yang disiasat di bawah Akta Hasutan. Menyalahgunakan kuasa polis sehingga ke institusi Parlimen yang sepatutnya selamat daripada sebarang penindasan menunjukkan ruang demokrasi sempit di negara ini.

"Tindakan tiga bekas menteri membangkitkan *isu 1MDB* di Dewan Rakyat tidak melanggar sumpah kerahsiaan kerajaan dan Akta Hasutan kerana mereka sekadar menjalankan *tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Sumpah kerahsiaan tidak boleh digunakan untuk menyembunyikan salah laku kerana ia bukannya undang-undang jenayah, sebaliknya hanya peraturan atau etika dalam kerajaan.Begitu juga Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan tidak terpakai atas apa yang diungkapkan oleh tiga orang bekas menteri tersebut kerana ianya tidak termasuk dalam definasi rahsia rasmi dan kecenderungan menghasut".

Jika benar sekali pun kandungan ucapan-ucapan tersebut mengganggu proses siasatan atau ada di antara fakta tidak benar yang dikemukakan, ianya tidak berkaitan langsung dengan Akta Hasutan atau Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Adakah KPN dah jadi 'belaan' Umno?. Jika benar ucapan dan perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen berkaitan 1MDB mengganggu siasatan, apakah ada siasatan yang dijalankan oleh PDRM tentang 1MDB? Sudah berapa lama siasatan berkaitan 1MDB yang dijalankan oleh PDRM?.Apa statusnya?

7.Oleh sebab itu, saya menganggap tindakan PDRM untuk menyiasat tiga bekas Menteri di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan oleh sebab ucapan yang mereka sampaikan di dalam sesi Parlimen adalah suatu tindakan yang melanggar Perlembagaan Persekutuan (unconstitutional and illegall) sama sekali dan menghina institusi Parlimen.

"Sebagai Ahli Parlimen dan Warganegara Malaysia, saya mendesak supaya KPN memberhentikan serta merta penyiasatan yang melanggar undang-undang ini.

Saya juga menyeru rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain samada Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara supaya bangkit mempertahankan hak dan keistimewaan Ahli Parlimen yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan".

"Tidak Perlu Takutkan Individu Yang Bangkit Isu Skandal 1MDB " .




DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR*

Ahli Parlimen Pokok Sena

7 Nov 2016/7 Safar 1438H

No comments:

Post a Comment