Friday 22 June 2018

Nor Shamsiah dilantik sebagai Gabenor BNM yang baharu



KUALA LUMPUR: Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dinamakan sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim yang meletak jawatan pada awal bulan ini, lapor Reuters memetik sumber kerajaan, hari ini.

Nor Shamsiah, yang merupakan bekas Timbalan Gabenor BNM sebelum ini disebut-sebut bakal menggantikan Muhammad selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan menerima surat perletakan jawatan Muhammad.

Muhammad meletak jawatan selepas dua tahun memegang jawatan sebagai Gabenor BNM, iaitu kurang sebulan selepas Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri baharu dan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Sementara itu, Bloomberg melaporkan jurucakap Dr Mahathir mengesahkan pelantikan itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan rekod, Nor Shamsiah memulakan kerjayanya di BNM pada tahun 1987 dan berpengalaman luas dalam pembentukan pengawalan kehematan, undang-undang, dasar dan garis panduan untuk sektor kewangan.

Beliau juga terlibat dalam inisiatif penyelesaian sektor kewangan semasa krisis kewangan Asia dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan untuk pembangunan sistem kewangan Malaysia dari tahun 2001 hingga tahun 2010.

Selain itu, Nor Shamsiah pernah memegang jawatan sebagai Penolong Gabenor yang bertanggungjawab terhadap penyeliaan institusi kewangan di bawah kawal selia BNM dan juga menyelia Jabatan Pengurusan Risiko BNM.

Beliau merupakan anggota Jawatankuasa Dasar Monetari BNM dan juga anggota Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Nor Shamsiah meninggalkan bank pusat pada November 2016, tujuh bulan selepas Tan Sri Zeti Akhar Aziz mengakhiri tempoh perkhidmatannya sebagai Gabenor pada April tahun itu, bagi menyertai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

No comments:

Post a Comment