Saturday, 27 October 2018

Derma RM2.6 bilion tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi


PUTRAJAYA, 26 Okt (Bernama) - Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra di sini hari ini.

Dalam pertemuan yang turut menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta derma RM2.6 bilion, Saifuddin berkata : “Beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi."

Menurutnya, ketika mereka bertemu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-73 di New York pada bulan lepas, Adel memberitahunya bahawa kerajaan Arab Saudi akan bekerjasama dalam siasatan 1MDB dan tiada kaitan dengan derma RM2.6 bilion.

"Hari ini ulangi sekali lagi bahawa itu tiada kaitan dengan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita selepas turut hadir pada kunjungan hormat Adel terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra di sini.

Pada 2016 ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul, Turki, Adel dilaporkan berkata sumbangan derma kepada Najib datang dari Arab Saudi.

No comments:

Post a Comment