Sunday 18 September 2016

Kuasa Raja Sebagai Ketua Agama Islam Menjangkaui Kuasa Perdana Menteri



Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam tidak boleh dipandang sebelah mata. Bukan saja kerana ia satu tradisi yang sudah menjadi amalan, tetapi kerana ia adalah hak, kuasa dan tanggungjawab yang diberikan Perlembagaan. Oleh itu, pengiktirafan Perlembagaan itu seharusnya mempunyai kesan tertentu. Ia tidak harus dianggap sesuatu yang sia-sia. Hak, kuasa dan tanggungjawab itu mempunyai nafas dan hidup. Ia harus jadi rujukan dan diterima dalam mendepani isu berkaitan agama Islam.

Ketua Agama yang diiktiraf Perlembagaan perlu diberi ruang untuk didengar dan dipatuhi dalam apa jua keadaan membabitkan agama Islam. Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong yang diperturunkan dalam Jadual 4 Perlembagaan meletakkan tanggungjawab Perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga dan mempertahankan kedudukan Islam, walaupun baginda secara harfiah bukanlah Ketua Agama Islam bagi keseluruhan Persekutuan. ("...Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam" – petikan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong).

Oleh itu, titah Yang di-Pertuan Agong perlu didukung dalam isu berkaitan agama Islam. Sekiranya tidak, jawatan Ketua Agama Islam dan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong itu hanyalah peruntukan Perlembagaan yang sia-sia. Ini tidak harus terjadi kerana Perlembagaan bukanlah dokumen yang sia-sia dan kaku. Seluruh peruntukan Perlembagaan mempunyai firasat dan nafas tertentu dan ia tidak diwujudkan dalam vakum. 

Sudah tiba masa Malaysia merealisasikan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama. Ia adalah konvensyen Perlembagaan kerana pengiktirafan yang sudah diberikan sekian lama. Di dalam prinsip undang-undang Perlembagaan, walaupun konvensyen tidak mempunyai kesan perundangan, tetapi ia boleh dijadikan sumber tafsiran Perlembagaan. Untuk merealisasikan konvensyen ini, tafsiran Perlembagaan haruslah holistik – iaitu dengan mengambil kira keseluruhan kerangka Perlembagaan dan mengharmonikan semua peruntukan sehingga memberi nafas kepada semua peruntukan berkenaan tanpa mengabaikan mana-mana satu pun.


No comments:

Post a Comment