Friday 28 April 2017

Tak Kan Transaksi Hilang Di Dunia : Keberadaban Melayu Era Digital



UNGKAPAN 'Tak kan Melayu hilang di dunia' cukup tersohor kerana dikatakan pernah dilafazkan oleh Laksamana Hang Tuah pada zaman Kesultanan Melaka dahulu kala.

Sejak zaman dahulu lagi, orang Melayu cukup terkenal dengan peranan sebagai ulama, penakluk, pendeta dan pahlawan yang sentiasa mengambil kira perspektif agama dalam segala tindak tanduk mereka agar kehidupan seharian dan pentadbiran diperbataskan dalam lingkungan yang dibenarkan oleh hukum syarie.

Pokok pangkalnya tersembunyi usaha menzahirkan sifat keikhlasan dalam mencari rahmat dan keredaan-Nya demi memartabatkan agama serta mengembalikan kedaulatan sesebuah bangsa yang tidak terkecuali terhakis dek percaturan modenisasi.

Tonjol Warisan Melayu

PENYERAPAN nilai, semangat, kejiwaan dan budaya serta pembentukan jati diri orang Melayu dalam sesebuah tamadun mewarisi legasi yang cukup bermakna bukan sekadar dipersempitkan dengan perspektif zahir semata-mata.

Oleh sebab itu, adalah penting untuk menzahirkan zaman kegemilangan dengan menghidupkan semula cara dan gaya hidup Melayu dahulu di zaman moden.peradaban bangsa Melayu tidak seharusnya ditafsirkan hanya kepada bentuk warisan kesenian, gambar dan ukiran batu semata-mata.

“Sedangkan aspek proses penerapan nilai Islam dalam bangsa ini lebih berkesan sehingga berjaya meminggirkan sebarang warisan jahiliyah.

Melayu di era digital "Tak Kan Transaksi Hilang Di Dunia" 

Di zaman era serba canggih dan digital ini harus kita fahami setiap transaksi elektronik keluar masuk duit di bank meninggalkan jejak.
 
Apabila seseorang Melayu mengambil wang yang bukan miliknya, orang itu boleh lah kita panggil seorang pencuri. Jika orang itu secara senyap telah mengambil sejumlah wang yang besar bukan miliknya dan kemudiannya tidak mengaku apabila seluruh dunia membongkar kegiatannya, maka orang itu layaklah digelar penyamun yang penipu.

Malang sungguh bila kita ada pemimpin melayu yang suka hati menyamun wang kerajaan berbillion banyaknya. Lebih malang lagi apabila dia cuba menipu dengan mengatakan ianya adalah derma yang datang dari Raja Arab Saudi

Kesemua bukti-bukti transaksi yang didedahkan sepatutnya membolehkan masyarakat melayu menangkap sipencuri itu 
tetapi ini tidak mungkin berlaku jika mereka yang mengemis dedak dari pemimpin utama melayu masih memegang kuasa penyiasatan.

Mereka adalah golongan melayu yang berdosa kerana bersama-sama bersekongkol melindungi jaguh pencuri ini tidak mungkin mahu membaca atau mempercayai bukti-bukti yang telah disediakan di mahkamah Singapura dan Amerika Syarikat. Bagi mereka, salah laku mereka yang bersalah, tidak ada kena mengena dengan ketua pencuri mereka.

Di mana-mana sahaja rakyat biasa mengatakan pemimpin utama mereka adalah pencuri, tetapi pemimpin itu sendiri seperti tidak malu dengan panggilan orang ramai terhadapnya. Akibat memakan duit curi terlampau banyak, maka kulit pun menjadi tebal lalu terpaksa mengharungi hari-hari dengan perasaan tidak tahu malu.

Kata Tun Mahathir " Melayu Mudah Lupa Tapi akan tersedar semula"

Jadi sebagai masyarakat melayu di era serba canggih ini dengan pelbagai pembaharuan dalam bidang teknologi perbankan haruslah bangun membetulkan kesilapan dan harus mengakui " Tak Kan Transaksi Hilang Dunia" . Maka janganlah kita berhenti dari menyuarakan kebenaran transaksi itu.

Hayatilah sepotong ayat al quran
 
 وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Dan katakanlah: Telah datang kebenaran dan telah lenyap kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu pasti lenyap. (17: 81) Al Isra.

Dari ayat tadi terdapat dua poin pelajaran yang dapat dipetik:‎

1. Kekalnya kebenaran dan lenyapnya kebatilan adalah sunnatullah dan ketentuan ilahi, meskipun jumlah pengikut kebenaran jauh lebih kecil dibanding pendukung kebatilan.

2. Ketika haq datang, batil pasti akan sirna. Karena itu, para pengikut kebenaran harus berjuang mengupayakan agar kebenaran tegak di tengah masyarakat.



Thursday 27 April 2017

Sokongan Terhadap Najib Mula Terhakis : MP BN Juga Minta Johari Ghani Dedah Surat Aabar BVI



Seorang anggota Parlimen BN turut meminta Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani untuk mendedahkan kepada umum berkenaan surat yang membuktikan Aabar yang didaftarkan di Virgin Island British (BVI) milik International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dari Abu Dhabi.

Datuk Dr Marcus Mojigoh berkata, langkah itu akan menghentikan spekulasi yang dimainkan oleh ahli-ahli politik pembangkang mengenai isu itu.

"Jika surat itu tidak diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), jika ia dibenarkan oleh undang-undang untuk berbuat demikian (pendedahan dokumen itu), mengapa tidak?" kata ahli Parlimen Putatan kepada Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini dalam laporan eksklusifnya, memetik Johari sebagai mendedahkan kewujudan sepucuk surat yang mengesahkan Aabar Investments PJS Ltd (BVI) anak syarikat IPIC, walaupun syarikat Abu Dhabi itu menafikannya.

Katanya, berdasarkan rekod dibekalkan 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum perjanjian penyelesaian, Aabar Investments PJS Ltd (BVI) ialah anak syarikat IPIC.

“Malah, ia disahkan oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands dalam surat bertarikh 11 Ogos 2016,” katanya kepada Malaysiakini.

Pendedahan yang berpandukan sumber yang biasa dengan perkara itu menjurus kepada persoalan mengapa pasukan Malaysia memilih untuk penyelesaian daripada membiarkan proses timbang tara antara 1MDB dan IPIC menghasilkan keputusan apabila mempunyai bukti yang kukuh.

Susulan itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Johari patut mendedahkan surat yang didakwa pengesahan daripada Pendaftar Hal Ehwal Korporat BVI supaya orang ramai boleh membantu beliau dan kerajaan berkaitan isu itu.

Johari juga, katanya, patut mendedahkan jejak aliran wang yang didakwa secara penipuan dipindahkan kepada syarikat yang salah, supaya orang ramai boleh menentukan siapakah yang merupakan benefisiari akhirnya.

Tambah Rafizi, Johari patut meletak jawatan jika beliau tidak boleh mendedahkan surat itu, seperti bekas Menteri Kewangan II Datuk Husni Hanadzlah, yang selepas peletakan jawatannya, menimbulkan persoalan mengenai 1MDB di Parlimen.

Sementara itu, Marcus yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, Johari tidak sepatutnya bercanggah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu.

"Perlu ada rundingan dan kerjasama antara Johari dan perdana menteri," jelasnya.

Tuesday 25 April 2017

Tuntutan IPIC - Aabar BVI, Siapa Kebas RM14.2 bilion? Soal Muhyidin



Tuntutan International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi melalui Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa London telahpun berjaya, Malaysia akan dihempap oleh beban kewangan sebesar RM 25.18 bilion .

Seawal 2014, Gabenor Bank Negara Malaysia melalui dua memorandum telah memberikan amaran kepada kerajaan pimpinan Najib risiko gegaran kewangan besar yang akan ditanggung oleh negara dari 'aktiviti' 1MDB.

Kini, pra gegaran itu sahaja sudah menggegarkan!

Antara isu dalam hubungan 1MDB dan rakan niaganya IPIC ialah salah pembayaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) seperti dalam laporannya, mengesahkan - sejumlah AS$1.3 bilion atau RM 4.51 bilion telah dibayar kepada Aabar BVI yang didaftarkan di British Virgin Island tanpa kelulusan lembaga pengarah 1MDB.


Selain itu, dokumen 1MDB menunjukkan satu lagi pembayaran kepada 1MDB berjumlah AS$2.1 bilion turut dibuat.

PAC mendapati, pembayaran dibuat kepada Aabar BVI tanpa kelulusan lembaga pengarah 1MDB!

Bukan jumlah wang yang kecil. Bahkan, sudah tersangat besar.

Bagaimana 1MDB telah tersalah bayar wang sebesar itu?

Wang itu sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada anak syarikat IPIC bernama Aabar Investments PJS tetapi telah dibayar kepada Aabar yang lain - iaitu Aabar BVI! oleh 1MDB.


Seperti kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin, 1MDB gagal membezakan antara Muhyidin dan Mahyidin.

Inilah yang menyebabkan IPIC dan Aabar meneruskan tuntutannya selepas beberapa kali mengeluarkan kenyataan 1MDB telah memungkiri komitmen seperti perjanjian. Aabar yang sebenar tidak dibayar.

Hasilnya, wang sejumlah AS$3.47 bilion atau bersamaan RM14.2 bilion dikebas orang!

Soalnya, siapakah 'orang' itu?

Mengikut kenyataan Presiden dan CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pada akhir April tahun ini, ada kemungkinan 1MDB telah 'ditipu secara besar-besaran (massive fraud)' atau 'kerjasama tali barut dari dalam' 1MDB sendiri (collaboration from our side).

Bukankah kenyataan Arul itu berat? 1MDB ditipu!

Bersekali dengan perdana menteri ditipu kerana beliau mempunyai kedudukan tertinggi dalam 1MDB.

Tidak begitu bagi Najib yang cukup tenang.

Dalam jawapannya di Parlimen pada April tahun ini - hanya berbeza hari dengan kenyatan Arul Kanda - 'terlalu awal untuk menyimpulkan adanya unsur penipuan'.

Kenapa terdapat kesimpulan yang begitu ketara perbezaan antara dua kenyataan ini?

Satu, 1MDB ada kemungkinan ditipu kerana membuat pembayaran yang salah.

Satu lagi, cuba menolak adanya unsur penipuan.

Jika bukan kerana ditipu dan niat buruk melarikan wang itu, kenapa pembayaran itu dibuat?

Bukan sekali, tetapi empat pembayaran.

Tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Seperti kura-kura

Jika sedikit sahaja semakan dibuat oleh 1MDB sebelum pembayaran dibuat, tidak ada nama Aabar BVI dalam senarai anak syarikat IPIC seperti laporan tahunannya bagi tahun 2011 sampai 2014 dan dalam laporan interim bagi tahun 2015.

Jika Arul Kanda mengatakan ada kemungkinan unsur jenayah dalam salah pembayaran sebesar ini, apa tindakan yang telah Arul Kanda lakukan?

Monday 24 April 2017

Timbangtara : 1 MDB Dan MoF Tanggung RM 25.18 billion Kerana Aabar BVI Bukan Anak Syarikat IPIC




International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Malaysia telah mencapai penyelesaian selepas proses timbang tara selama bertahun lamanya mengenai pertikaian berbilion dolar.


Menurut penyata kepada Bursa Saham London, IPIC berkata, pihaknya akan menerima sejumlah AS$1.2 bilion menerusi dua kali bayaran yang sama pada 31 Julai dan 31 Disember ini.

Berasingan, 1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) bersetuju memikul tanggungjawab dalam dua bon yang diterbitkan oleh kumpulan 1MDB yang dijamin oleh 1MDB dan IPIC.

Perjanjian itu adalah tertakluk kepada Tribunal Timbang Tara di London yang akan membuat keputusan pada 31 Mei ini.

Bon bernilai AS$3.5 bilion diterbitkan pada tahun 2012 untuk membiayai unit tenaga 1MDB - 1MDB Energy (Langat) Limited dan 1MDB Energy Limited. Kedua-dua bon harus dilangsaikan pada 2022.


"Kedua-dua pihak telah memberikan aku janji dan tanggung rugi yang bersesuaian berhubung kemajuan obligasi di bawah penyelesaian.

"Pihak yang berkenaan juga bersetuju untuk berbincang dalam hal pembayaran yang dibuat oleh Kumpulan 1MDB Group kepada entiti tertentu," menurut penyataan itu.


Thursday 20 April 2017

Isu 90 juta : Dah Hampir Setahun Sarawak Report Masih Belum Terima Notis Saman Dari PAS



Sarawak Report masih belum menerima notis saman daripada Pas, berhubung laporan dakwaan pucuk pimpinan parti itu menerima dana daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Editornya, Clare Rewcastle Brown berkata, sedangkan sudah lebih tiga bulan tarikh akhir bagi pihaknya memenuhi tuntutan Pas, berakhir.

“Mereka mengugut untuk saman saya dalam masa seminggu, jika saya tidak melakukan banyak perkara (yang dituntut) pada pertengahan Disember lalu, tetapi belum ada sebarang tindakan,” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today.

Sebelum ini, Sarawak Report mendakwa RM90 juta telah dimasukkan ke dalam akaun pemimpin atasan Pas sebagai salah satu usaha Najib menarik kepimpinan Pas supaya menyokong BN dan Umno.

Susulan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peguam partinya di United Kingdom telah menghantar surat tuntutan kepada Sarawak Report pada 13 Disember 2016.

Beliau berkata, surat itu mengandungi tiga tuntutan iaitu menggesa Sarawak Report menarik balik artikel bertarikh 6 Ogos 2016, mengeluarkan permohonan maaf mengikut terma yang dipersetujui oleh partinya dan mahu Sarawak Report memberikan jaminan tidak akan menyiarkan tuduhan palsu pada masa-masa akan datang.

Tempoh tuntutan iaitu tujuh hari itu berakhir 20 Disember 2016.

Tuesday 18 April 2017

17 Individu Terima Dana Berkaitan SRC Bakal Didedah Rafizi



Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan siapa 17 individu yang didakwa menerima dana berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Katanya, dakwaannya itu berdasarkan dokumen yang dipaparkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika beliau ‘membersihkan’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku pada Januari tahun lalu.

Berhubung dengan dana SRC International, Mohamed Apandi telah pun membersihkan Najib atas alasan bahawa perdana menteri tidak mempunyai pengetahuan bahawa dana itu dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.




Menurut peguam negara, tidak ada bukti yang menunjukkan yang Najib memberikan sebarang kelulusan mengarahkan pemindahan wang dari akaun SRC International ke dalam akaun peribadinya.



Berdasarkan carta aliran dana yang ditunjukkan oleh Apandi kepada media, sekurang-kurangnya RM32 juta dana daripada SRC International disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri.

Carta itu turut menunjukkan bahawa RM23,520,010 diagihkan kepada 17 penerima.

Najib telah menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Rafizi berkata beliau akan memberi tumpuan bagi mendapatkan jawapan berhubung perkara ini.

“Saya akan memberi tumpuan dalam masa seminggu dua ini untuk mendapatkan jawapan dari Najib dan pihak berkuasa berkenaan pemindahan-pemindahan wang ini.

“Oleh itu, saya akan membuat beberapa pendedahan bersiri mengenai skandal ini dan diakhiri dengan satu laporan polis baru terhadap Najib dalam tempoh seminggu dari sekarang agar siasatan dibuka kembali terhadap penglibatannya,” kata Rafizi.


Sunday 16 April 2017

Najib Masih Membisu Atas Dakwaan Rafizi Beliau Agih Duit SRC


Berdasarkan pendedahan Rafizi Ramli melalui akuan bersumpahnya bahawa bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa ada menerima sejumlah wang - tentunya juta-juta - dipercayai bersumberkan dana SRC International, anak syarikat 1MDB daripada Najib Razak, pihak yang disebut namanya tidak boleh lagi sekadar berdiam diri saja.

Najib yang mengagihkan dana tersebut menggunakan akaun bank peribadinya dan Nasharuddin sebagai penerima wang, adalah dua pihak yang harus segera menjelaskan perkara itu dengan jujur dan ikhlas kepada rakyat.


Dalam hal ini, Najib paling tinggi dari segi tanggungjawab moral untuk memberi penjelasan kepada rakyat tentang tujuan sebenar wang itu diberikan kepada Nasharudin.

Apakah ia benar-benar untuk Nasharudin, bagi tujuan apa atau ia untuk disalurkan kepada pemimpin tertentu Pas sebagaimana yang didakwa oleh Rafizi?

Pendedahan Rafizi dengan menyebut nama Najib, Nasharuddin dan dana SRC International, anak syarikat 1MDB adalah yang ketiga ditujukan kepada Pas setakat ini. 

Sebelum ini Sarawak Report mendedahkan dana RM90 juta diterima Pas, manakala Husam Musa pula membangkitkan nama Affin Bank yang digunakan untuk menyalurkan wang tersebut.

Pas mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report dan Husam, tetapi sehingga ini sama ada saman akan diteruskan atau tidak masih lagi terawang-awangan serta belum menjadi kenyataan.

Menyusul hari ini, Rafizi  membuat pendedahan yang ketiga terhadap Pas melalui akuan bersumpah kerana  maklumat yang diperolehinya itu adalah berdasarkan apa yang diberitahu kepadanya pada 28 Januari lalu oleh seorang bekas pegawai paling kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah mengetuai siasatan ke atas 1MDB dan dakwaan pembabitan Najib dalam skandal itu.

Pegawai kanan SPRM itu,  menurut Rafizi, setuju namanya dirujuk dalam pendedahan yang dibuatnya ini.

Bagaimanapun, Rafizi masih terhalang secara undang-undang untuk mendedahkan bukti-bukti yang dimilikinya kerana ia adalah sesuatu yang masih diletakkan di bawah OSA atau Akta Rahsia Rasmi. Itulah sebabnya beliau membuat akuan bersumpah dan kemudian akan membuat laporan kepada SPRM dengan harapan agar penyiasatan semula dapat dilakukan.

Kesimpulan mudah sekarang adalah bola kini di kaki Najib dan Nasharudin untuk melakukan tindakan seterusnya.


Monday 10 April 2017

Dasar Penswastaan Gagal : Penjawat Awam Bertambah Di zaman Najib - Ujar Tun Mahathir


SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berjaya mengurangkan jumlah penjawat awam melalui dasar penswastaan tetapi bilangan itu meningkat dengan ketara sejak melepaskan jawatan perdana menteri 14 tahun lalu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mendakwa apabila beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2003, kerajaan mempunyai kurang daripada sejuta kakitangan, tetapi bilangan itu kini meningkat kepada 1.6 juta.

“Ini dilakukan untuk mendapat populariti tanpa memikirkan akibatnya.”

Bekas perdana menteri itu berkata, dengan melakukan penswastaan agensi kerajaan, kerajaan tidak perlu berbelanja lebih untuk membayar gaji kakitangannya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai jumlah penjawat awam yang ramai pada hari ini.


“Apabila (Datuk Seri) Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri, bilangan penjawat awam bertambah.

“Kita tidak perlukan ini. Sebahagian daripada mereka bergaji buta, di mana mereka tidak bekerja tetapi masih dibayar gaji.
“Kita perlu memindahkan mereka ke sektor swasta yang boleh menampung mereka supaya kita boleh menjimatkan wang,” kata beliau pada majlis dialog di sini, malam tadi.

Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri pada 2009.

Kerajaan mula melaksanakan dasar penswastaan pada 1980-an, dengan LLN menjadi Tenaga Nasional manakala Jabatan Telekom menjadi Telekom Malaysia atau TM.
Februari lalu, media melaporkan perkhidmatan awam di Malaysia adalah yang terbesar di dunia berdasarkan nisbahnya berbanding saiz populasi, dengan 1 penjawat awam kepada 19.37 rakyat di negara ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dipetik sebagai berkata, perbelanjaan kerajaan meningkat secara drastik setiap tahun disebabkan jumlah kakitangan awam yang ramai.

Bagaimanapun, katanya, Putrajaya tidak akan mengambil sebarang tindakan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/08/kakitangan-awam-naik-ketara-kerana-mahu-popular-dakwa-dr-mahathir/