Monday 16 July 2018

KKMM kaji cadangan RTM siar EPL secara langsung



PUCHONG: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mengkaji cadangan menyiarkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara langsung melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada masa depan.

Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata ia tidak dapat dilakukan tahun ini mahupun tahun depan, namun akan berusaha merealisasikan impian peminat di Malaysia itu paling awal pada 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang perancangan membabitkan siaran langsung EPL mungkin berubah mengikut situasi semasa, termasuk keadaan ekonomi dan dana kerajaan ketika itu.

"Menyiarkan EPL secara langsung melalui RTM ialah antara perkara dibawa kepada perhatian KKMM.

"Tahun ini, kita tidak boleh berbuat demikian kerana ia menelan kos besar melebihi dana diperlukan untuk siaran Piala Dunia 2018 yang mendapat tajaan berjumlah RM30 juta.

"Pada masa sama, kerajaan mengambil inisiatif mengurangkan perbelanjaan negara seperti disarankan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mungkin bukan tahun ini, bukan tahun depan (siaran langsung EPL), kita tengok masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program 


Jom Bola Perlawanan Akhir Piala Dunia 2018 bersama Menteri KKMM di padang Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Gobind berkata, 'Media City' dibangunkan di Wisma Angkasapuri RTM dengan dilengkapi peralatan dan teknologi moden, ialah antara usaha KKMM memperkasakan kualiti penyiaran stesen televisyen berkenaan.

"Bangunan itu akan disiapkan dalam tempoh dua bulan lagi. Di situ, RTM akan ada akses terhadap peralatan moden untuk menyiarkan pelbagai program, termasuk segmen sukan secara langsung dan lebih berkualiti," katanya.

No comments:

Post a Comment