Saturday 14 July 2018

Adakah Mukhriz masih mahu sekolah vernakular ditamatkan?


Penulis ingin mengimbas kembali cadangan Mukhriz pada 2008 ketika  beliau masih di dalam UMNO ketika 
menjawat jawatan timbalan menteri perdangangan antarbangsa dan industri,

Persoalannya apakah pendirian Mukhriz dengan isu hangat tentang pengiktirafan UEC baru-baru ini? 

Adakah segala pandangan terdahulunya beliau sudah tidak relevan sejak menyertai pakatan harapan ? Jika cadangan beliau itu ada asasnya kenapa tidak lagi mahu bersuara tentangnya?

Cadangan Datuk Mukhriz Mahathir supaya sistem sekolah vernakular ditamatkan merupakan cadangan yang amat baik. Malah, bukan pertama kali cadangan seumpama itu dikemukakan. Penyata Razak 1956 secara jelas mencadangkan supaya ditubuhkan satu jenis sekolah sahaja yang terbuka kepada pelajar daripada semua kaum.

Dengan menutup sekolah pelbagai aliran, ini akan memberi ruang kepada sekolah kebangsaan yang sedia ada untuk membawa aspirasi cadangan ini. Pelajar daripada semua kaum akan belajar di bawah sistem satu sekolah.

Ini bukan sahaja akan membolehkan mereka melalui sukatan pelajaran yang sama, malah turut memberikan pendedahan awal untuk mereka hidup dalam persekitaran kepelbagaian kaum.

Pendedahan awal untuk mereka hidup dalam persekitaran kepelbagaian kaum adalah amat penting. Ini akan membolehkan mereka menyerap segala permasalahan yang timbul sesama mereka dan seterusnya mencapai persefahaman daripadanya di peringkat seawal sekolah rendah.

Ini akan menjadi satu batu asas yang amat kukuh buat para pelajar yang melalui sistem satu sekolah untuk mencorak kehidupan bermasyarakat di masa hadapan dengan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia.

Namun saya berpandangan, untuk mengukuhkan lagi cadangan Mukhriz adalah amat besar keperluan untuk bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem ini. Ini termasuklah dengan menamatkan program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang ternyata akan merosakkan usaha murni untuk membina kesatuan di kalangan pelajar dalam sistem satu sekolah. Ini kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang dapat dimanfaatkan sebagai bahasa perpaduan dan kesatuan di antara kaum.

Malah kita tidak menafikan cadangan mewajibkan bahasa lain dalam sistem satu sekolah untuk diajarkan kepada para pelajar berasaskan kaum iaitu Bahasa Mandarin untuk kaum Cina dan Bahasa Tamil untuk kaum India.

Sistem sekolah vernakular sememangnya antara faktor penting yang menyumbang kepada polarisasi kaum yang semakin tampak jelas di Malaysia pada hari ini. Seharusnya para pemimpin yang mewakili kaum masing-masing harus berasa gusar dengan perkembangan yang cukup mencemaskan ini. Tidak terhad kepada pimpinan di lapangan politik, pimpinan di lapangan ekonomi dan sosial juga harus maju ke hadapan memainkan peranan untuk menyelesaikan masalah ini.

Pandangan Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arsyad bahawa perlu ada keazaman politik untuk merealisasikan objektif daripada cadangan Mukhriz harus diberi pertimbangan mendalam oleh para pimpinan yang mewakili kaum masing-masing. Sekiranya benar kita semua serius untuk menangani masalah polarisasi kaum hari ini, para pimpinan kaum perlu secara tulus dan telus untuk mencapai persefahaman dalam hal ini.

Sekiranya para pimpinan kaum masing-masing asyik berkeras menuding jari tanpa bersedia duduk semeja secara serius untuk mencapai persefahaman, maka Malaysia sebenarnya sedang menuju fasa akhir kewujudan sesebuah negara selari dengan teori Ibnu Khaldun di dalam Kitab Mukaddimah karangannya.

Saya optimis, sekiranya Malaysia masih punya pimpinan yang jujur dan berjiwa besar, masalah polarisasi kaum hari ini akan dapat diselesaikan dalam kadar yang segera. Seperti mana batu asas perpaduan kaum yang dibina oleh pimpinan kita di awal penubuhan Malaysia, kesediaan pimpinan hari ini untuk mengabaikan kepentingan yang bersifat rigid dan individualistik akan berhasil membina batu pengukuh perpaduan di Malaysia.

Demi mencapai manfaat yang lebih besar dan berpanjangan di Malaysia, polarisasi kaum harus segera dihapuskan. Langkah awalnya adalah dengan bersetuju secara bersama untuk menamatkan sistem sekolah vernakular ke arah sistem satu sekolah buat semua kaum.

No comments:

Post a Comment