Friday 6 July 2018

Tun Mahathir dijangka lawat China setelah projek ECRL dan paip petroleum bekukan


KUALA LUMPUR: Pegawai dari Malaysia dan China kini dalam perbincangan bagi kunjungan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Beijing tidak lama lagi, menurut dua sumber kepada Reuters.

Perkembangan ini berlaku susulan keputusan kerajaan Malaysia menggantung projek disokong China yang bernilai lebih AS$20 bilion (RM80.85 bilion).

Menurut satu sumber yang terbabit dalam perancangan lawatan itu, kunjungan Mahathir ke Beijing difahamkan dipersetujui pada pertengahan Ogos ini.

Bagaimanapun, jurucakap Perdana Menteri tidak memberi sebarang ulasan, begitu juga Kementerian Luar China yang enggan memberi sebarang komen.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menarik berbilion dolar pelaburan China dan adalah salah seorang penyokong kuat dari Asia Tenggara mengenai 'Belt and Road Initiative' oleh Presiden Xi Jinping.

Minggu ini, beliau ditahan atas tuduhan rasuah, namun Najib mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin, semalam.

Mahathir sebelum ini dilihat amat kritikal terhadap manfaat daripada projek China kepada Malaysia. Sejak mengambil alih jawatan, beliau berjanji untuk mengadakan rundingan semula syarat projek walaupun kerja-kerja pembinaan sudah berjalan.

Dalam satu pengumuman mengejut minggu ini, Kementerian Kewangan di bawah arahan Mahathir mengarahkan tiga projek dibekukan, termasuk projek AS$20 bilion (RM80.85 bilion) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip bernilai AS$2.3 bilion (RM9.30 bilion).

Dua sumber lain yang mengetahui perkara itu berkata, tindakan kerajaan Malaysia membekukan projek itu adalah sebahagian daripada strategi rundingan memandangkan kejayaan ECRL amat penting kepada inisiatif kerajaan China.

"Ia usaha menghantar mesej kepada China. Mereka tidak mahu kegagalan menjejaskan nama mereka," kata salah seorang sumber yang juga pegawai kanan di Kementerian Kewangan. - Reuters


https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2018/07/445608/dr-mahathir-dijangka-lawat-china-ogos-ini

1 comment:

  1. Pelaburan dari Negara China??? Projek itu memang betul merupakan pelaburan bagi negara China, tetapi ia adalah 'peleburan' bagi negara Malaysia.

    ReplyDelete