Friday 28 September 2018

RM2.5 bilion wang rasuah disita sejak 4 bulan lepas


KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.5 bilion wang tunai dirampas dan disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi pelbagai siasatan dalam tempoh empat bulan sejak Jun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata rampasan itu membabitkan pelbagai kesalahan rasuah, penyelewengan, serta salah guna kuasa selain siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiasat SPRM.

Katanya, jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk pelbagai rampasan berbentuk barangan seperti kenderaan, barang perhiasan atau hartanah yang belum ditafsirkan nilainya.

“Sepanjang lebih 30 tahun saya berkhidmat dengan SPRM, angka itu adalah paling besar dicapai SPRM berikutan diperoleh dalam tempoh empat bulan sahaja.

“Jumlah itu pula tidak termasuk pelbagai barangan atau hartanah disita SPRM yang belum dinilaikan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program temubual bersama Bernama Radio di Wisma Bernama, hari ini.

Mohd Shukri berkata, dalam tempoh yang sama juga, pihaknya sudah menahan lebih 336 individu terbabit dalam rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Daripada jumlah itu hampir 100 individu yang ditahan sudah dituduh di mahkamah.

“Kesemua angka tangkapan, pertuduhan serta nilai wang tunai dirampas itu cukup mengejutkan sekali gus membuktikan kes rasuah dan penyelewengan di negara ini cukup serius,” katanya.

No comments:

Post a Comment