Tuesday 2 October 2018

BBC Hardtalk 2018 : Saya tak minta maaf pada Anwar


DR Mahathir berkata, beliau tidak pernah meminta maaf secara formal kepada Anwar Ibrahim kerana memecat bekas timbalan perdana menterinya itu dan memenjarakan beliau berhubung dakwaan liwat, dan menegaskan bahawa masa lalu tidak penting sekarang kerana kedua-dua pemimpin telah memberi tumpuan untuk menggulingkan kerajaan Najib Razak.

Menjawab soalan berhubung masa lalu yang kontroversi pada program BBC Hardtalk, perdana menteri berkata beliau tidak pernah membuat permohonan maaf secara formal kepada Anwar apabila ditanya oleh hos program itu Zeinab Badawi.




Memetik kata-kata Anwar, Zeinab berkata: “Dia (Anwar) memberitahu BBC pada Jun bahawa Dr Mahathir Mohamad memberitahunya bahawa dia sudah membuat kesilapan dan mahu peluang untuk membuat perubahan.”

Dr Mahathir lantas menjawab: “Itu adalah pendapatnya.”

Zeinab menyampuk: “Tetapi itulah yang dikatakannya kepada kamu.”

Dr Mahathir menjawab: “Saya tidak memberitahunya tetapi ada orang lain yang berkata sedemikian kerana mereka mahu saya memohon maaf.”

“Tetapi saya tidak pernah membuat permohonan maaf secara rasmi kepadanya.”

Ketika ditanya sama ada beliau menyesal atas apa yang berlaku kepada Anwar, Dr Mahathir berkata:
“Saya bersimpati dengan mereka yang melakukan sesuatu dan dihukum penjara.”

Mahathir, yang kini merupakan perdana menteri menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu “kejadian masa lalu” dan tidak berkaitan dengan hukuman penjara semasa Anwar atas tuduhan yang popular disebut sebagai “Liwat II”, semasa kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekarang.

Pada tahun 1998, Dr Mahathir memecat Anwar dari Kabinet dan kemudian dari Umno, dengan menuduh bekas timbalan perdana menteri itu sebagai homoseksual dan menyalahgunakan kuasanya.

Jika dilihat pada bulan Januari 2006, BBC melaporkan Anwar menyaman Dr Mahathir kerana mendakwa beliau sebagai gay sebanyak 2 kali, pertama pada tahun 1998 dan sekali lagi pada September 2005.


“Bayangkan mempunyai seorang perdana menteri yang gay. Tiada siapa yang akan selamat,” kata Mahathir pada September 2005, sambil menambah, beliau memecat Anwar bagi mengelakkan Malaysia terutamanya Islam daripada mempunyai pemimpin homoseksual, menurut laporan itu.

Sementara itu, merujuk kepada Pakatan Harapan, Dr Mahathir berkata, pakatan pembangkang terdiri daripada orang yang pernah mengkritiknya, tetapi semua telah membuat keputusan untuk memberi tumpuan kepada “isu yang amat penting” iaitu menumbangkan kerajaan semasa yang “kleptokratik”.

1 comment:

  1. What is past is past. Let move forward for the peoples and country

    ReplyDelete