Sunday 7 October 2018

Isu khalwat: Mujahid tak faham undang-undang, Perlembagaan


BANGI – Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkaitan penguatkuasaan jenayah khalwat sama sekali tidak bersandarkan kepada Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa, kata Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Turut menyifatkan ianya sebagai naif, Mujahid sebagai menteri persekutuan sepatutnya faham dan sedar bahawa isu-isu perundangan syariah adalah dalam bidang kuasa negeri melainkan di Wilayah Persekutuan.

“Jadi, kenyataan beliau bahawa tiada lagi tangkapan khalwat akan dibuat adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerana ia adalah di bawah bidang kuasa negeri dan ia juga jejaskan kuasa sultan dan campuri urusan negeri dan undang-undang yang berkuatkuasa negeri.

“Terpulang kepada penjawat, penguatkuasa agama atau pendakwa syarie negeri untuk melaksanakannya atau tidak dan menteri persekutuan tak boleh campuri urusan negeri, bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya seperti dilapor Sinar Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mujahid dalam temu bual eksklusif dengan akhbar The Star, yang melaporkan menteri berkenaan sebagai berkata, tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Dalam temu bual itu, Mujahid turut dilaporkan mengutuk tindakan me
mecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan yang akan dilakukan nanti.

Dalam pada itu, Zainul Rijal turut berkata, Mujahid dilihat tidak faham bahawa undang-undang yang dikuat kuasa pelaksanaannya ini termasuklah di Wilayah Persekutuan dan undang-undang jenayah syariah adalah tersusun dan ada tatacara sendiri.

“Khususnya di Wilayah Persekutuan ada akta tatacara jenayah mahkamah syariah di dalam akta itu ada menyebut tentang bagaimana prosedur penyiasatan dibuat penguatkuasa agama mempunyai hak untuk memasuki premis yang di mana disyaki berlaku kesalahan dalam premis itu.

“Kata-kata Mujahid tidak boleh mengatasi undang-undang kecuali beliau meminta Parlimen untuk meminda undang-undang baharu di Parlimen,” katanya.

No comments:

Post a Comment