Sunday 7 October 2018

Teks terjemahan soal jawab Mujahid bersama The Star.



Teks terjemahan soal jawab Mujahid bersama The Star.

Dengan terjemahan ini diharapkan masyarakat lebih memahami dan menilai sendiri konteks yang cuba disampaikan oleh Mujahid

Q: Bagaimana anda melabel diri anda sebagai seorang Muslim?

A: Saya adalah seorang Muslim yang mahu pegang kepada kepercayaan saya, mengamalkan apa yang diajar agama saya, dalam suasana dunia kontemporari yang dinamikanya sentiasa berubah, dan saya mahu menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Sebagai seorang ahli politik Muslim, saya berada di dalam kerangka yang lebih besar untuk lebih komited terhadap kepercayaan saya, namun ia tidak sesekali menghalang saya menjadi seorang rakyat kepada negara, dan juga dunia.

Q: Adakah anda seorang konservatif, liberal, ekstremis, atau seseorang yang hanya menggelarkan dirinya Muslim.

A: Saya bersikap konservatif selari dengan pegangan saya, tetapi dari aspek bagaimana anda berinteraksi dengan orang lain, kadang-kala anda harus menjadi “liberal” dari segi jika kita ingin hidup bersama-sama.

Jika anda terus bersikap konservatif, anda tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling. Ekstremism tidak sekali-kali terkandung dalam kamus hidup saya.

Q: Islam bagaimanakah Kerajaan Pakatan Harapan ingin amalkan?

A: Keutamaan diberikan kepada usaha melindungi kebebasan untuk mengamalkan sebarang kepercayaan, serta menghormati pegangan orang lain, selagi mana ia tidak menyalahi undang-undang, seperti mana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan kini mempunyai naratif tersendiri bagaimana Islam itu harus disampaikan kepada masyarakat - sesuatu yang kami definisikan sebagai Islam yang mempunyai belas kasihan terhadap semua, atau rahmatan lil alamin. Kerana ia akan memastikan anda terus inklusif kepada semua.

Yang keduanya ialah mempunyai elemen belas kasihan, dan ketiganya bersifat progresif.

Q: Anda berbicara tentang Rahmatan Lil Alamin dan keterangkuman. Adakah anda bercakap tentang Muslim dan juga bukan Muslim?

A: Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Islam itu Agama Persekutuan, dan artikel yang sama turut menyebut kepercayaan lain bebas diamalkan.

Kita amalkan kebebasan, dan sebagai seorang Muslim, anda juga harus melindungi kebebasan orang lain. Saya kekal komited dalam melindungi kebebasan kepercayaan lain.

Q: Sewaktu era Barisan Nasional, portfolio anda dilihat sebagai penjaga moral (moral guardian). Adakah anda berhasrat untuk meneruskan perkara itu?

A: Dalam isu moral, anda akan ada dua kategori. Yang pertama ialah situasi anda dalam lingkungan peribadi iaitu sebagai seorang individu, dan situasi dalam lingkungan awam. Saya percaya dalam setiap kepercayaan, ada prinsip moralnya tersendiri.

Dalam menjalankan pentadbiran kerajaan, kami telah nyatakan dengan jelas, garisan antara lingkungan peribadi dan ruang awam secara keseluruhan.

Katalah anda telah melakukan sesuatu secara peribadi, maka saya tidak akan masuk campur, walaupun sebenarnya mengikut standard saya, ia adalah sesuatu yang salah.

Saya akan melibatkan diri sekiranya sesuatu yang dilakukan secara peribadi itu mengganggu atau menceroboh ruang awam secara keseluruhan, di mana ia mungkin menimbulkan kebimbangan dari segi sensitiviti, dari segi undang-undang, atau pun jenayah.

Pada ketika itu kerajaan akan masuk campur, bukan kerana kami mahu menjadi polis moral atau mengganggu ruang peribadi anda, tetapi kerana kami juga harus mempertahan dan menjamin kepentingan awam. Jika anda berbicara tentang polis moral, anda juga berbicara tentang mencerobohi ruang privasi seseorang, yang mana ia merupakan sesuatu yang kita tidak mahu lakukan.

Q: Katalah seseorang itu melakukan sesuatu di belakang pintu tertutup, atau khalwat. Sekarang pegawai penguatkuasa boleh memecahkan pintu dan menahan mereka. Adakah ini akan berubah?

A: Saya akan memberi panduan kepada kesemua agensi di bawah saya, terutamanya pegawai penguatkuasa, jangan masuk campur ruang peribadi seseorang.

Isu berkaitan penguatkuasaan terhadap khalwat, yang anda rasakan sering disalahgunakan, tidak kesemuanya. Tetapi ada beberapa ketika ia telah dieksploitasi dan disalahguna.

Penguatkuasaan ke atas aktiviti khalwat terletak di bawah institusi kehakiman di bawah negeri, dan ia bukan di bawah kementerian saya, tetapi kami mempunyai platform di mana kita akan bertemu kesemua pengarah negeri jabatan Hal Ehwal Islam, serta berkongsi pandangan dari sudut Kerajaan Persekutuan berhubung isu ini.

Q: Anda telah mewarisi sebuah kementerian yang mana orang-orang di dalamnya sering menganggap diri mereka sebagai polis moral. Bagaimana anda mahu mengubah corak pemikiran kumpulan ini?

A: Saya telah mengambil beberapa langkah serius dalam usaha mereformasi apa yang sering dipanggil sebagai “polis moral” oleh pihak yang memantau kesemua perkara, apa yang anda lakukan dalam bilik anda, atau adakah anda ini seorang Muslim yang baik, walaupun di dalam rumah anda sendiri.

Kita telah mulakan usaha dalam merangka polisi baik untuk Persekutuan, mahupun di agensi peringkat negeri yang terletak dalam bidang kuasa kementerian saya, di mana agensi-agensi ini, terutama sekali Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), akan mengamalkan “compassionate Islam”.

Perbincangan sedang dijalankan tentang bagaimana perkara ini boleh dilaksanakan, dan dibudayakan. Ia pastinya bukan mudah. Akan ada pihak yang menentang, walaupun di kalangan pihak urus tadbir. Saya beritahu mereka – “anda mungkin mempunyai intrepretasi tersendiri, tetapi anda harus menghormati polisi kerajaan kini”

Q: Bagaimana hendak mengubah kepercayaan atau budaya setelah lebih 60 tahun, lelaki Muslim mempunyai kuasa muktamad ke atas wanita Islam, yang membentuk majoriti dalam masyarakat?

A: Sebagai contoh, jika anda berbicara tentang perkahwinan di bawah umur, anda mungkin mempunyai pandangan berbeza. Pandangan yang mungkin mempengaruhi orang awam adalah daripada para mufti – mereka mempunyai pandangan tersendiri dan pandangan itu lebih berpengaruh daripada menteri, mahupun Perdana Menteri sendiri.

Mereka ada pengaruh. Tetapi pada masa yang sama ada juga mempunyai pihak-pihak lain yang boleh membantu menyampaikan idea anda dengan lebih meluas, sebagai contoh Majlis Raja-raja. Saya perlu mengadakan perbincangan dengan mereka kerana mufti ini terletak di bawah bidang kuasa Raja-raja.

Saya lebih cenderung melakukan perbincangan dan konsultasi, tetapi akhirnya, saya adalah sebahagian daripada Kerajaan, bukan Mufti.

Saya tidak mengeluarkan fatwa sama ada ini haram atau halal atau ia berdosa. Saya perlu membawa perkara ini ke parlimen untuk perbincangan. Akhirnya saya juga mungkin akan mengambil pendirian yang berkemungkinan akan bertentangan dengan fatwa, tetapi ia mengambil kira konteks yang lebih besar seperti kepentingan umum, seperti mana disyorkan oleh Syariah.

Q: Mengambil kira bahawa isu ini tertakluk di bawah undang undang negeri, Majlis Raja-raja, para mufti, agama dan kepercayaan, adakah anda sebenarnya “harimau yang tidak bertaring” yang hanya mempunyai peranan sebagai penasihat?


A: Melakukan perundingan dengan pihak lain bukan bermaksud kami lemah. Sebelum saya membuat sebarang keputusan, saya harus hormat pada prosedur. Saya boleh terus membuat keputusan seperti – “ok, tiada lagi perkahwinan di bawah 18 tahun! – saya mungkin mempunyai pendapat yang kukuh, tetapi sebagai seorang menteri, saya harus mengikut klausa yang sedia ada.

Q: Apakah klausa sedia ada yang anda maksudkan?


A: Jika seseorang itu berkahwin sebelum mereka berumur 18, adakah itu satu jenayah? Jika ia jenayah, bagaimana anda memisahkan pasangan itu, serta melindungi kebajikan individu di bawah umur itu? Ada yang mungkin berkata “Anda terlalu perlahan, anda tidak mahu lakukannya kerana takut tindak balas negatif”. Tidak ia bukan sebab itu. Jika mereka berkahwin tanpa kebenaran oleh pihak yang berkuasa, bagaimana anda harus menanganinya?

Q: Ketika mana proses konsultasi ini berlangsung, masih ada kes-kes perkahwinan di bawah umur. Apa yang anda lakukan ketika itu?

A: Saya baru berada di dalam pejabat selama satu bulan sebelum kes perkahwinan kanak-kanak di Jeli timbul. Saya maklumkan kepada mereka kita perlu ada tindakan yang pantas kerana jika anda mahu mewujudkan akta atau meminda akta, ia akan makan masa berbulan.

Saya telah mengarahkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia untuk sediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) secepat mungkin memandangkan saya ada kuasa.

Kami telah maklumkan kepada semua hakim yang bertanggungjawab terhadap perkahwinan di bawah umur, bahawa mereka harus ikut SOP berkenaan. Ketika mana kami sedang melakukan perkara itu, satu lagi kes berlaku di Tumpat. Kami dapati hakim untuk kes tersebut tidak mengikuti SOP yang kami tetapkan. Jadi ia bukan salah kami kerana langkah-langkah bersesuai telah diambil.

Q: Bagaimana pula tentang isu sekolah tahfiz, ia patut berdaftar di bawah kementerian anda, dan banyak isu jenayah seksual berlaku di tempat seperti itu?

A: Seperti yang berlaku di Kepong (di mana seorang guru tahfiz telah melakukan jenayah seksual kepada pelajar-pelajar), saya sendiri turun dan melihat tempat itu. Saya katakan sekolah itu harus ditutup. Tetapi memandangkan saya tidak mempunyai kuasa untuk menutup sebarang sekolah tahfiz, maka kami ambil jalan alternatif.

Kita ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan Jabatan Bomba, yang mana mereka mempunyai kuasa untuk menutup sebarang premis jika ia tidak didaftar.

Kemudian saya memanggil pihak yang berkaitan serta pegawai undang-undang untuk melakukan sesuatu. Kami akan meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang mana ia melibatkan urus tadbir sekolah-sekolah agama, bukan sahaja untuk mengawal tetapi juga untuk menutup premis berkenaan.

Q: Adakah semua tahfiz di negara ini anda akan kawal atau hanya sekiranya berlaku sesuatu kes?

A: Terdapat banyak tahfiz yang tidak berdaftar dengan kami tetapi kami tidak dapat menghentikannya kerana saya tidak mempunyai kuasa. Kemudian, terdapat isu yang tidak tahu undang-undang.

Keduanya, berhubung bidang kuasa negeri. Mereka akan berkata - “kami berdaftar di bawah pihak berkuasa negeri, dan kami tidak perlu ikut kurikulum Persekutuan”. Dalam jangka masa panjang, kami bukan sahaja hanya melihat kepada undang-undang berkaitan, kami juga akan melihat kurikulum supaya dapat melahirkan graduan tahfiz yang berintegrasi. Di bawah Darul Quran yang dikelolakan JAKIM, kami akan adakan kerjasama dengan universiti tempatan bagi membolehkan mereka mendapat ijazah.

Q: Apakah pendirian anda terhadap hukuman rotan terhadap wanita dan kecenderungan mahkamah syariah untuk menghukum pesalah seksual dan orang yang kurang bernasib baik?

A: Dalam kes hubungan seksual antara wanita sesama wanita di Terengganu, kabinet telah membincangkan hal ini secara terperinci dan Perdana Menteri mempunyai pendapat yang kukuh.

Saya telah diminta untuk melihat perkara ini secara terperinci. Kami tidak boleh dilihat mengganggu urus tadbir negeri. Tetapi sebagai Kerajaan Persekutuan kami perlu ada pendapat yang kukuh berhubung isu ini. Proses merotan itu harus dilakukan dengan lebih belas kasihan, lebih memahami, mengambil kira beberapa faktor mitigasi seperti – adakah ia kali pertama mereka lakukan? Adakah perlu anda mengambil tindakan drastik sebegini?

Q: Kini timbul isu hukuman rotan ke atas seorang ibu yang didapati bersalah kerana melacurkan diri. Bagaimana caranya untuk anda mempengaruhi hakim-hakim Syariah?


A: Ia bukan bermaksud kesemuanya terletak di tangan hakim – mereka harus mengikut prosedur mahkamah. Kami mungkin perlu mengadakan latihan yang lebih intensif untuk para hakim, untuk melihat sama ada setiap penghakiman mereka akan mencerminkan persepsi ke atas Islam. Saya juga rasa tidak senang hati melihat negeri-negeri ini seolah-olah berlawanan antara satu sama lain.

Di Terengganu ratusan orang awam datang melihat dua wanita itu. Kemudian, di Kelantan mereka mahu lakukan di stadium, manakala di Pahang mereka mahu melakukan di tempat awam. Perkara ini telah membawa persepsi pelaksanaan hukuman di dalam Islam adalah seolah-olah pertandingan, dan mahu melihat siapa yang akan menarik lebih ramai tontonan awam. Di mana Rahmahnya? Di mana belas kasihan? Di mana keadilan?

Q: Bagaimana anda mahu mereformasi pemikiran hakim-hakim Syariah - yang mungkin akan bertegas bahawa semua hukuman ini terkandung dalam Al-Quran dan buku-buku tentang Islam?

A: Hanya ada satu cara – berhadapan dengan mereka, berdebat dengan mereka. Ini adalah Islam, tiada apa yang bukan Islam di sini. Jadi, berdebat, bercakap dan berdiskusi.

Kami harus memastikan mereka ada platform untuk suarakan idea dan pendapat.

Akhirnya, anda harus tegas dan bersedia dengan tentangan jika anda mahu melaksanakan polisi baharu, menetapkan agenda, serta perlunya garis masa.

Kita mempunyai masyarakat yang lebih besar yang menyokong usaha kami. Dengan melakukan perkara ini secara berterusan, kita akan mempunyai pentadbiran Islam yang diperbaharui.

No comments:

Post a Comment