Wednesday 10 October 2018

Jangan ghairah cukai rakyat



KUALA LUMPUR 9 Okt. – Cukai keuntungan modal (CGT) se­perti pulangan pelaburan saham dan cukai harta pusaka merupakan antara yang boleh diperkenalkan untuk memenuhkan lagi poket kerajaan, selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Namun dalam keghairahan memperkenalkan cukai baharu, penganalisis berpandangan kerajaan terlebih dahulu perlu juga menyedari pendapatan rakyat adalah terhad dan bukannya tinggi untuk membayar segala jenis cukai yang mahu diperkenalkan.

Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Saizol Ismail berkata, kerajaan mungkin mempunyai hasrat tersendiri dari segi kutipan cukai, namun keinginan itu tidak semestinya dapat dipenuhi dengan keadaan pendapatan rakyat yang rata-ratanya sederhana.

“Misalnya jika ke­rajaan terus menggali (memperkenalkan cukai), tetapi apa yang digali ini mempunyai hadnya (pendapatan), kita khuatir tekanan kembali kepada rakyat.

“Adalah lebih baik sekiranya kerajaan memperkasakan kaedah kutipan cukai yang sedia ada terlebih dahulu selain menanamkan keyakinan rakyat bahawa cukai yang dikutip memberi manfaat kepada negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Ma­laysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, tiba masanya kerajaan pula perlu berjimat-cermat bagi memastikan kutipan berbilion cukai setiap tahun menjadi cukup.

Katanya, penjimatan itu termasuk tidak menganjurkan majlis keraian besar-besaran atau membeli aset yang akhirnya tersadai dan jarang digunakan.

“Jika mahu memperkenalkan juga cukai baharu, cukai sedia ada seperti cukai pendapatan, jalan dan sebagainya perlu dikurangkan. Jika tidak ia memberi tekanan kepada rakyat,” katanya.



1 comment:

  1. Kerajaan nak berjimat ke nak sistem cukai baru ke..rakyat ok je... dgn syarat jangan berkira kira , jangan kedekut.. dan jangan semua hal nak berniaga ngan rakyat. Jangan sampai memerintah satu penggal...🧐🧐🧐

    ReplyDelete