Thursday 18 October 2018

Apa benar sistem satu ahli satu undi PKR dicemari politik wang?


Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini, mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Beliau yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai 'sebelah sana' mendakwa, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

"Ada perkara yang buat saya tidak tidur lena (selepas melalui pemilihan di enam negeri). Minggu depan (Sabtu ini), saudara-saudara akan bersaing dalam peringkat cabang dalam satu suasana yang tidak pernah kita tengok... dengan wang bertaburan di bawah.

"Anda akan berhadapan saingan peringkat cabang yang ada (pihak) sumbangkan wang (kepada) satu cabang RM100,000, RM200,000 untuk berdepan saudara-saudari.

"Ada tempat di negeri lain yang (pemilih) ditawarkan satu undi RM100. Saya sebut awal-awal supaya anda semua jangan terkejut.


Tinagaran (kanan) dan Khairul Anuar (tengah) ketika menjadi tetamu Sinar Live, semalam.

Manakala Bendahari PKR Perak, MA Tinagaran berkata, faktor wang penting untuk mana-mana calon bertanding kerana perjalanan pemilihan memang memerlukan wang bagi memastikan ia berjalan lancar.

Menurutnya, tiada sebarang peruntukan dikeluarkan parti bagi menjalankan proses pemilihan sama ada di peringkat cabang atau PKR Pusat.

“Ini bergantung kepada kekuatan kewangan calon-calon yang bertanding itu sendiri. Ada calon yang mungkin juga ahli perniagaan seperti saya mempunyai sumber kewangan, saya gunakan sumber kewangan itu untuk menjalankan proses-proses pemilihan dalam kempen saya. Ini memang berlaku dan tidak dinafikan.

“Calon-calon yang tidak mempunyai potensi atau sumber itu merasakan ini adalah politik wang, saya rasa itu tidak wajar. Jika benar berlaku politik wang buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jangan guna media sosial dan memberikan gambaran buruk terhadap calon,” katanya.


Agak mustahil untuk calon-calon menggunakan politik wang bagi meraih undi kerana sistem satu ahli satu undi tidak memungkinkan perkara itu berlaku.


Pengerusi Biro Guaman Angkatan Muda Keadilan Perak, Khairul Anuar Musa berkata

“Jika kita lihat trend keluar mengundi hanyalah sekitar 20 hingga 30 peratus di hampir ke semua negeri yang sudah menjalankan pemilihan. Kalau guna sistem undi boleh dibeli, saya rasa kita boleh capai jumlah pengundi sehingga 50-60 peratus.

“Saya rasa yang keluar mengundi ini mereka yang benar-benar mahu mengundi, tidak wujud beli undi. Kita kena faham PKR baru jadi kerajaan dan kita tidak ada sumber kewangan yang besar untuk melakukan perkara itu,” katanya.

Penulis berpandangan jika benar dakwaan Rafizi wujud pembelian RM 100.00 bagi satu undi maka jumlah pengundi akan mencapai 50-60 % kerana imbuhan itu memberi ransangan kepada pengundi untuk datang ke tempat pengundian dan mengundi calon yang merasuah mereka.  

1 comment: