Thursday 18 October 2018

Kerajaan buat kajian kebolehlaksanaan jambatan bengkok


KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses menjalankan kajian kebolehlaksanaan berhubung cadangan menghidupkan kembali projek jambatan bengkok yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata pihaknya tidak boleh memberi kata putus terhadap projek jambatan bengkok berkenaan kerana mesti melalui kajian terlebih dahulu.

Beliau berkata, ini kerana setiap projek wajar untuk melalui kajian sebelum membuat sebarang keputusan berhubung hal itu.

“Kita tidak boleh cakap ok atau tidak ok. Pada pendapat saya, setiap projek yang mahu dilakukan mesti dijalankan kajian kebolehlaksanaan sebelum keputusan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya.

“Sekarang saya fikir kerajaan cuma tunggu untuk memutuskan dan disyorkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bersetuju dengan cadangan kerajaan Johor mahu menghidupkan semula projek pembinaan jambatan bengkok.

Jambatan bengkok atau Jambatan Indah yang diilhamkan Dr Mahathir adalah projek jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak 1923.

Projek itu dibatalkan 2006 pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata cadangan untuk menghidupkan semula projek jambatan bengkok menghubungkan Malaysia-Singapura di Selat Johor akan ditentukan kerajaan berdasarkan kekuatan fiskal negara.

Katanya, cadangan itu dibuat oleh Menteri Besar Johor tetapi belum dibawa ke peringkat kerajaan Persekutuan.

Beliau, bagaimanapun berkata, keutamaan kerajaan buat masa ini lebih terarah kepada projek infrastruktur yang membawa kebaikan kepada rakyat seperti pembinaan hospital, sekolah dan jalan raya.

No comments:

Post a Comment