Monday 22 October 2018

Zahid tak perlu cuti tetapi lebih bermaruah jika letak jawatan



KUALA LUMPUR, Umno dijangka membincangkan kedudukan Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat Majlis Tertinggi bulan hadapan, kata Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata setakat ini kedudukan Ahmad Zahid, yang menghadapi tuduhan di mahkamah, tidak dibincangkan kerana ia dianggap tidak memerlukan kesegeraan.

“Kita kena ikut perlembagaan. Segalanya ada dalam perlembagaan jadi kita akan ikut apa yang ada dalam perlembagaan. Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (mengenai kedudukan Ahmad Zahid),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen .


Manakala Datuk Mohamad Hassan, memberitahu pemberita bahawa Umno mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pada tahun 2009 yang memerlukan pemimpin tinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

"Ia (amalan ini) digunakan untuk menggantung pemimpin yang menghadapi tuduhan, tetapi SOP baru memerlukan mereka yang didakwa bercuti.

"Bagaimanapun, jika mereka kemudiannya didapai tidak bersalah, pemimpin berkenaan boleh meneruskan kedudukan mereka," katanya di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur minggu lepas.

Tengku Razaleigh yang juga ahli Parlimen Gua Musang berkata, Umno perlu mengadakan semula pemilihan jawatan Presiden parti itu jika Ahmad Zahid terpaksa melepaskan jawatannya.

Julai lepas ,Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, berkata presiden parti hingga ketua bahagian yang disiasat suruhanjaya itu harus melepaskan jawatan masing-masing.

"Pemimpin Umno yang dipilih semalam sama ada daripada presiden hingga ketua bahagian yang tahu dirinya dalam siasatan SPRM, sila lepaskan jawatan. Anda hanya menambah imej buruk, membawa kebencian orang Melayu pada Umno.

Ahmad Tajuddin secara sinis, menyatakan barisan kepemimpinan yang baru dipilih Julai 2018 lepas ibarat 'barisan ke penjara' dan boleh menghancurkan Umno.

Zahid Hamidi juga pernah memerli Najib supaya tidak berasa hati atas kritikan terhadapnya ketika dihadapkan dengan pelbagai kesalahan rasuah,AMLA dan salahguna kuasa.

Beliau merujuk kepada komen daripada Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa Najib boleh dianggap sebagai liabiliti dalam usaha Umno untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.

Penulis berpendapat Zahid Hamidi akan lebih bermaruah sekiranya beliau meletakkan jawatan sebagai presiden parti sebelum berlansungnya mesyuarat MT Umno pada bulan depan bagi menentukan nasibnya kerana 45 pertuduhan yang dikenakan atas beliau itu adalah juga liabiti yang terpaksa ditanggung oleh Umno.

Apa akan jadi jika keputusan mesyuarat MT memberi cuti dan mengantung jawatan Presiden Umno yang dipegang oleh Zahid Hamidi atau biarkan beliau terus memegang jawatan tersebut dan pergi ke kandang orang salah di mahkamah selaku Presiden Umno?

Dari segi pertuduhan yang dihadapi oleh, dapat dilihat bahawa ia adalah kes yang jelas, mudah dan sama sekali tidak sukar, tetapi barangkali susah untuk membela diri.

Lantaran itu, sukar untuk mengatakan pertuduhan itu semata-mata bermotif politik atau bertujuan untuk melemahkan Umno, kecuali jika Zahid Hamidi benar-benar dapat membuktikan beliau tidak terlibat sama sekali dalam semua pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan penggubahan wang haram itu.

Dari segi Umno nya pula, adalah membuang masa saja jika mereka terus berpendirian mahu mempertahan dan membela Zahid Hamidi kerana masyarakat secara umumnya lebih mudah mempercayai apa yang terkandung dalam pertuduhan itu berbanding apa jua pembelaan di kemudian hari.

Meskipun memberi cuti atau menggantung jawatan adalah amalan yang biasa dilakukan Umno sebelum ini, tetapi dalam kes Zahid Hamidi dan dalam usaha membawa Umno keluar daripada imej buruk berkaitan rasuah dan mengumpul kekayaan, langkah itu jelas tidak lagi memadai.

Najib yang dikenakan 32 pertuduhan telah meletak jawatan sebagai presiden Umno oleh itu bermaruah sekiranya Zahid Hamidi yang dikenakan lebih banyak pertuduhan meletakkan jawatan supaya tidak dianggap sebagai liabiliti kepada Umno.

1 comment:

  1. Berhenti Saja. AMLA bukan sensing nak lepas









    ReplyDelete