Sunday 2 December 2018

BERSATU alternatif terbaik untuk rakyat Sarawak


KUCHING: Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), di Dewan Suarah Bintulu, hari ini turut mencipta sejarah baharu di mana parti disertai Perdana Menteri, buat pertama kali bertapak di Sarawak.

Sebelum tumbangnya UMNO/ Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, parti UMNO yang mendominasi kerusi Perdana Menteri sejak enam dekad, tidak ‘dibenarkan’ masuk di Bumi Kenyalang.

Kehadiran BERSATU ke negeri ini tidak boleh dipandang remeh kerana sebelum ini parti berkenaan secara terbuka mengumumkan tidak akan bertapak di Sarawak, andai tiada sambutan daripada rakyat tempatan.

Pada September lalu, penyelaras penubuhan BERSATU Sarawak yang juga Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, dalam kunjungan ke negeri ini berkata, BERSATU masuk sekiranya ‘tuan rumah’ menjemput mereka.

Mengikut data terkini, jumlah keahlian tidak rasmi BERSATU Sarawak kini sudah mencapai angka 30,000 ahli di semua 31 kawasan Parlimen di Sarawak.

Pastinya parti itu tidak mahu mensia-siakan kelebihan politik dimilikinya selepas ahli parlimennya menguasai tiga kementerian utama yang cukup bermakna kepada pembangunan Sarawak, selain membawa cogan kata, BERSATU adalah parti bagi semua rakyat Malaysia, termasuk di Sarawak.

Tiga kementerian dikuasai BERSATU adalah Kementerian Kemajuan Luar Bandar, diterajui Datuk Seri Rina Mohd Harun; Kementerian Pembangunan Usahawan (Mohd Redzuan) dan Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik).

Ketiga-tiga kementerian sangat berkait rapat dengan kehidupan rakyat Sarawak terutama di kawasan luar bandar dan pastinya kelebihan itu berpotensi menggugat kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang PRN-12 kelak, selepas PH dilihat masih kukuh menguasai kawasan bandar.

No comments:

Post a Comment