Friday 12 July 2019

DEB perlu dihapuskan, tak mapan buat jangka panjang, kata Anwar


KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) berasaskan kaum perlu dihapuskan kerana ia tidak mapan untuk jangka panjang.

“Selepas 60 tahun merdeka, kita jelas mengiktiraf peruntukan di bawah Perlembagaan mengenai keistimewaan orang Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, bahasa kebangsaan dan kedaulatan raja.

“Tetapi, kita tahu negara perlu maju sebagai sebuah keluarga besar,” katanya selepas menghadiri satu acara di sini, malam ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, “jika kita perlu membantu melalui tindakan afirmatif”, ia perlu dibuat menerusi dasar berasaskan keperluan, bukannya kaum.


“Orang miskin yang memerlukan bantuan mesti dibantu, tidak kira dia Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

“Tetapi, kita perlu menunjukkan empati secukupnya untuk memastikan rakyat sedar pemansuhan DEB tidak bermakna orang miskin…mereka di kawasan luar bandar atau golongan miskin di bandar…akan (diabaikan).

“Saya kekal yakin ia (perubahan ini) adalah petanda baik untuk Malaysia.”

DEB ialah program tindakan afirmatif yang dirangka selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Ia dilaksanakan pada 1971 untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula struktur ekonomi negara bagi menghapuskan identiti etnik dengan fungsi ekonomi.
Ia turut menyasarkan pegangan ekonomi Bumiputera sehingga 30%.

No comments:

Post a Comment