Wednesday 10 July 2019

Pelantikan ratu transgender dalam CCM langgar undang-undang negara


PELANTIKAN Ratu Trans Women 2017, Rania Zara Medina sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan bagi penggal 2019-2021 disifatkan tidak wajar malah telah melanggar undang-undang negara.


Termaktub dalam Seksyen 377A Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Seksen 25,26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Wilayah-wilayah Persekutuan.Komuniti lesbian, gay, homoseksual dan transgender (LGBT) masih tidak dibenarkan untuk mengamalkan gaya hidup mereka yang songsang di bawah undang-undang Malaysia.

Alasan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye perlantikan itu dibuat kerana ikut prosedur kerana Rania adalah wakil komuniti daripada populasi sasar.

Katanya, populasi sasar itu, termasuk transgender, seks lelaki bersama lelaki (men-sex-with-men), pekerja seks wanita, penagih dadah dan orang yang hidup dengan HIV/AIDS (PLHIV).

Tetapi sebelum beliau membuat apa-apa perlantikan adakah beliau telah merujuk kepada undang-undang negara?

Bukan sahaja mengamalkan LGBT menjadi kesalahan di Malaysia malah pertubuhan-pertubuhan berkaitan dengan LGBT juga tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Jika perlantikan sebagai wakil golongan sasar dibuat untuk mendapatkan peruntukan di bawah Global Fund maka sepatutnya individu yang telah berjaya keluar dari kelompok sasar itu dilantik bukannya dari kalangan mereka yang masih mengamalkan budaya hidup sonsang ini.

Kenapa pula Harry Zulkifli, 26, bekas mak nyah yang perkongsian mengenai kisah hidupnya suatu ketika dulu tular di Facebook (FB) tidak dilantik untuk mengisi jawatan mewakili golongan sasar ini?



Rania Zara Medina Ikon Transwomen untuk tahun 2017 / 2018 masih menjalani kehidupan sebagai seorang transeksual apa perlunya beliau dilantik?

Sebagai duta golongan transgender di Malaysia, Rania banyak terlibat dalam advokasi di peringkat komuniti seperti workshop SOGIE dan undang-undang. Wanita yang berketurunan Melayu, Pakistani dan Eurasian ini menjadi spokesperson untuk majlis-majlis charity yang dianjurkan oleh NGO atau ratu cantik Transgender yang dikelolakan oleh komunitinya.

Tidak menjadi kesalahan Rania Zara Medina dilantik jika diluar negara tetapi jika perlantikan itu dibuat oleh kerajaan maka ianya telah melanggar undang-undang negara.

Lagipun perlantikan Rania dilihat seolah-oleh seperti mempromosikan lagi budaya LGBT.

Adakah KKM terlepas pandang bahawa golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) merupakan kelompok tertinggi dijangkiti HIV yang mewakili 50 peratus kes baharu dilaporkan sepanjang 2017.

Peningkatan tersebut turut menyaksikan jumlah mereka yang disahkan positif HIV melalui aktiviti menagih dadah dengan berkongsi jarum suntikan terus menurun sebaliknya melalui hubungan seks di luar tabii pula semakin meningkat.

No comments:

Post a Comment