Saturday 2 November 2019

Tinjauan : Kaum Cina mahu calon PH kekal di Tanjung Piai


PONTIAN - Majoriti masyarakat Cina di Parlimen Tanjung Piai di sini masih mahu memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) untuk terus mengekalkan kerusi Parlimen itu sekurang-kurangnya sehingga habis penggal ini.

Seorang peniaga, Tan Hai Sun, 69, berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya menilai prestasi kerajaan PH ketika ini meskipun ramai berpendapat kerajaan PH gagal menunaikan janji manifesto pilihan raya mereka.

Menurutnya, rakyat masih menaruh keyakinan kerajaan PH diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu membuat perubahan, sekali gus memastikan ekonomi negara kembali pulih.

"PH masih baru lagi. Kena bagi peluang dekat mereka pulihkan ekonomi.

"Lagipun, bekas wakil rakyat di sini (Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik) pun beri perkhidmatan bagus. Kira tunggu sampai pilihan raya umum (PRU) akan datanglah dulu," katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Reaksi sama turut dikongsi seorang lagi penduduk asal Parlimen Tanjung Piai, Goh Tong Yap, 68, yang menyifatkan kerajaan PH masih membawa aspirasi perjuangan yang selari dengan kehendak masyarakat Cina.

Katanya, meskipun pelantikan calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng dilihat beri kelebihan kepada masyarakat Cina di Parlimen Tanjung Piai, pihaknya melihat keseluruhan aspek pembangunan rakyat.

"Dua-dua calon baik tapi bagi peluang kerajaan sekarang (PH) betulkan dulu apa yang rosak.

"Yang penting, rakyat jangan gaduh-gaduh, pilih calon boleh buat kerja. Bagi semua orang boleh cari makan," katanya.

Bagi seorang peniaga runcit, Ku Ah Liang, 80, dia lebih memilih calon pilihan raya yang benar-benar komited untuk bekerja untuk rakyat.

"Tidak kisah dia Melayu ke, Cina ke, MCA ke, PH ke. Yang penting kerja untuk rakyat mesti selalu buat," katanya.











No comments:

Post a Comment