Thursday 31 May 2018

Kerajaan perlu lebih tegas atasi lambakan peniaga asing


LAMBAKAN peniaga asing di Lembah Klang bukanlah perkara baharu tetapi isu itu masih berlarutan seolah-olah tiada kesudahan.

Pelbagai aduan dan laporan telah dibuat sama ada dalam media elektronik mahupun cetak tetapi tetap juga berlaku. Kehadiran warga asing sama ada dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar semakin bertambah dan menguasai ibu kota.

Kelemahan penguatkuasaan menyebabkan mereka terus bertapak kukuh dan menguasai satu-satu kawasan hinggakan lokasi tersebut dibanjiri oleh mereka

Keadaan itu menjadikan mereka semakin berani dan tidak gentar dengan undang-undang negara. Sikap acuh tak acuh ,kerajaan Barisan Nasional, warga tempatan dengan kehadiran rakyat asing berkenaan menggalakkan lagi aktiviti mereka.

Bukti jelas dan nyata, Chow Kit dulu kebanyakan golongan peniaga adalah terdiri daripada rakyat tempatan tetapi kini lokasi berkenaan dibanjiri dan dikuasai oleh peniaga Indonesia.

Kebimbangan terhadap fenomena yang semakin parah itu mendapat perhatian dan telah disuarakan oleh pelbagai pihak yang mempertikaikan bagaimana warga asing ini boleh memperoleh lesen berniaga secara berleluasa tanpa sekatan oleh pihak bertanggungjawab.

Mereka begitu mudah mendapatkan lot-lot kedai yang disewa oleh warga tempatan berbanding dengan penduduk tempatan yang amat memerlukan lot berkenaan.

Menurut pihak berkenaan, keadaan itu akan menjadi kronik sekiranya anggota penguat kuasa tidak melaksanakan undang-undang dengan penuh integriti kerana boleh menyebabkan amalan rasuah berleluasa.

Terbaharu pendedahan akhbar tempatan mengenai kerenah penjaja warga Myanmar dan Bangladesh yang berniaga ‘sayur terpakai’ di Pasar Harian Selayang di Kuala Lumpur.

Mereka yang memulakan perniagaan seawal pukul 7 pagi mengutip lebihan sisa sayur-sayuran daripada peniaga pasar borong berhampiran dan kemudian menjualnya kepada pemilik restoran dan gerai makan sekitar ibu negara.

Sayuran itu mendapat sambutan pembeli kerana harganya jauh lebih murah berbanding kadar biasa, walaupun kualitinya sangat rendah.

Kegagalan pihak berwajib melaksanakan penguatkuasaan secara tegas menyebabkan kumpulan peniaga rakyat asing terus bebas menjalankan perniagaan tanpa rasa bersalah.

Justeru, kerajaan Pakatan Harapan perlu bertindak tegas sebelum keadaan menjadi lebih parah.


Sikap tamak peniaga tempatan yang mahu keuntungan segera menjadikan mereka sanggup memajak lesen kepada warga asing. Tambah beliau, DBKL perlu bangkit melaksanakan penguatkuasaan yang ketat dan tegas.

Jika tidak, lambakan peniaga asing akan terus berlaku dan menyebabkan perkara tidak diingini terjadi baik dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mempertahankan hak kita. Biarlah peluang ini dinikmati oleh warga kota sendiri dan bukannya diagih kepada orang yang tidak berhak.

Pihak berwajib khususnya DBKL, Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus turun padang dan membuat serbuan secara besar-besaran.

Tarik balik lesen peniaga tempatan yang menyewa lot-lot kedai mereka kepada rakyat asing.

Pihak SPRM juga harus menyiasat bagaimana lot-lot kedai kepunyaan peniaga tempatan itu boleh dipajak kepada peniaga asing tanpa diambil tindakan oleh pihak DBKL.

Penguat kuasa DBKL harus disiasat kerana membiarkan perkara berkenaan terus berlaku. Jangan biarkan kakitangan awam terus dinodai dengan amalan rasuah yang akan mencalarkan imej mereka dalam kalangan rakyat.



Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd Ridzuan Abdullah hari ini menggesa Kerajaan wujudkan undang-undang ‘anti Ali Baba’ dalam usaha mengekang warga asing yang monopoli perniagaan.

“Peniaga warga asing yang terlalu ramai sekarang menyebabkan mereka telah monopoli sesuatu kawasan perniagaan. Mereka adakan rangkaian perniagaan, adakan jaringan pelindungan dari tindakan penguatkuasa undang-undang, termasuk adakan rangkaian hubungan dengan agensi terlibat melalui pintu belakang.

“Walaupun desakan supaya kerajaan ambil tindakan, tetapi masalah sukar di selesaikan kerana ada warga tempatan yang melindungi mereka,” kata Ridzuan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ada warga tempatan yang menjadi ‘Ali Baba’ dalam memberi premis perniagaan kepada warga asing.

“Kuasa warga asing hari ini mereka mengunakan kuasa wang untuk mendapat apa yang mereka mahu,” jelasnya.

“Saya minta kerajaan adakan undang-undang ‘anti Ali Baba’ dengan hukuman yang berat,” tegas Ridzuan.

“Dari sudut hasil kepada kerajaan, kerajaan rugi jutaan duit kerana mereka bukan pembayar cukai, lagi bahaya jika warga asing mengunakan perniagaan ini untuk melindungi aktiviti mengubal wang haram atau membiayai keganasan,” tambah beliau lagi.

No comments:

Post a Comment