Tuesday 5 June 2018

K’jaan beri tiga bulan bagi warga asing kosongkan rumah PPR



Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi tempoh selama tiga bulan bermula hari ini bagi pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) mengosongkan rumah mereka yang disewa warga asing.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata sekiranya pemilik gagal mengosongkan premis berkenaan dalam tempoh tersebut, tindakan pengusiran terhadap penyewa warga asing itu akan dikuatkuasakan dan pemilik bakal berdepan dengan penalti dan hak pemilikan rumah ditarik balik.

“Tindakan ini diambil adalah bagi memastikan tiada lagi warga asing menduduki rumah PPR dan ini akan dimulakan dengan rumah yang di bawah jagaan KPKT dan seterusnya kita akan bergerak kepada sektor-sektor yang lain,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Katanya penguatkuasaan tersebut dilakukan dalam memastikan rakyat tempatan diberi keutamaan untuk mendapatkan rumah selain isu-isu sosial yang sering ditimbulkan oleh warga asing yang menduduki kawasan rumah terbabit.“Kita juga mahu mengawal selia isu harga sewa di kawasan berkenaan yang mana kita tahu kebanyakan warga asing akan menawarkan kadar yang lebih tinggi berbanding rakyat tempatan,” katanya.

Zuraida dalam pada itu berkata KPKT akan mengkaji semula pelbagai aspek perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk prosedur operasi standard sedia ada dan memberi perhatian keadaan semasa fasiliti JBPM termasuk kenderaan, pili bomba dan peralatan menyelamat.

No comments:

Post a Comment