Friday 13 July 2018

Tuntutan pengiktirafan UEC sepatutnya tidak dilayan - Prof Dr Teo


Pada 8 Julai lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching Nie Ching dipetik dalam sebuah portal berita sebagai berkata, beliau mahu pengiktirafan UEC yang menjadi sebahagian daripada janji PH dalam manifesto PRU-14, diselesaikan sebelum hujung tahun ini sambil, menyatakan UEC tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Bagaimanapun, isu itu mendapat pandangan berbeza daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu pendekatan menyeluruh supaya pelaksanaannya kelak tidak menjejaskan perpaduan kaum dan menggadaikan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, tuntutan berkenaan sepatutnya tidak dilayan sejak dulu, bagi menamatkannya lebih awal.


Katanya, kini ia menjadi barah kerana gagal dirawat sejak awal dan seolah-olah segala masalah ditimbulkan kerajaan sekarang, sedangkan ia bermula sejak kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, sepatutnya menteri atau timbalan menteri terdahulu menjawab isu itu secara tegas "kita tidak layan tuntutan", bukan ayat penyedap 'kaji', 'bincang' dan lebih teruk 'pertimbangkan'.

"Pengiktirafan UEC hanya akan menguntungkan segelintir kaum Cina di negara ini, dan bukannya untuk kepentingan kaum itu secara keseluruhan.

"Sekiranya sijil itu diiktiraf terutama untuk kemasukan ke UA dan kemasukan ke sektor awam, sudah tentu ia akan menjejaskan peluang pelajar Cina mengikuti persekolahan dalam aliran kebangsaan.

"Ramai yang tidak menyedari bahawa mengiktiraf UEC menyebabkan peluang anak Cina daripada aliran kebangsaan untuk mendapat tempat di UA dan sektor awam akan terjejas kerana mereka terpaksa bersaing dengan pelajar UEC," katanya.

Kok Seong berkata, UEC diasaskan berdasarkan sistem pendidikan di Taiwan yang dengan sendirinya memberi kesan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu dan dilihat sebagai bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Katanya, apa juga jenis persekolahan yang tidak berada dalam sistem pendidikan negara perlu dianggap sebagai tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang antaranya mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Di luar sistem pendidikan negara

Beliau berkata, dalam konteks ini UEC yang dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti sukatan Kementerian Pendidikan, jelas sekali berada di luar sistem pendidikan negara.

"Sebenarnya semua sekolah menengah atau sekolah tinggi persendirian Cina di negara ini sudah diberi peluang untuk menyertai sistem pendidikan kebangsaan, sewaktu kita mencapai kemerdekaan.

"Dalam hal ini, ada yang menyertainya dan ada yang tidak menyertainya dengan menjadi sekolah persendirian Cina yang dilihat tegas menawarkan UEC untuk kemasukan ke UA dan sektor awam," katanya.


Petikan temuramah dengan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KI TA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG.

SOALAN: Cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran itu bukan perkara baharu. Ia sering timbul apabila wujud masalah dalam hubungan antara kaum tetapi tidak pernah dibincangkan secara serius. Komen Datuk?

KOK SEONG: Ia hangat sekejap sahaja. Nampaknya kita tidak ada keberanian politik. Kerajaan yang memerintah pun tidak sanggup melakukannya dan yang berhasrat memerintah pun, saya rasa tidak sanggup melakukannya. Apa yang kita boleh buat sekarang ialah kita manfaatkan sistem yang pelbagai ini. Kita cari jalan terbaik.

Bukan tidak ada usaha daripada pihak kerajaan. Kerajaan sudah cari jalan. Tetapi nampaknya setiap kali Kementerian Pendidikan cari jalan untuk kita manfaatkan yang ada sekolah Cina dan macam-macam ini, ada pihak yang membantah. Sebagai contoh pada 2011, kita sudah mula dalam sistem pendidikan sekolah rendah itu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kita mulakan dengan satu sistem seragam. Hendak seragamkan kurikulum di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan tetapi tidak berjaya.

Contoh, hendak seragam sukatan pelajaran Bahasa Melayu, yang di sekolah kebangsaan tidak sama dengan yang di sekolah jenis kebangsaan tetapi tindakan itu ditolak oleh kaum Cina dan India. Maksudnya mereka curiga dan balik kepada perasaan tidak percaya ini. Mereka fikir ada agenda politik daripada orang Melayu untuk memelayukan anak-anak Cina dan akhirnya mengislamkan anak-anak Cina.

Sebelum itu pun kita ada Sekolah Wawasan dan ada pihak yang bantah iaitu kaum Cina.Sekolah Wawasan itu tiga pentadbiran yang berlainan dan hanya wujud sebelah menyebelah sahaja, berkongsi padang permainan, kantin sekolah dan macam-macam lagi supaya ada integrasi antara murid. Di situ pun sudah nampak orang-orang tua ini tidak mahu dan hendak sekat. Mereka fikir ini ada agenda licik untuk memelayukan dan mengislamkan anak Cina. Sampai ke situ mereka fikir.

Cina Malaysia mesti jadi Cina Malaysialah. Dalam diri mereka mesti ada komponen Melayu sebab Melayu kaum dominan. Cina Malaysia mesti bezakan diri mereka dengan Cina di Hong Kong dan Taiwan. Takkan kita hendak struktur itu lagi. Itu zaman dahulu.

Kalau kita tengok orang bukan Melayu sama ada Cina atau India di Malaysia yang fasih berbahasa Melayu, kita nampak sikap positif mereka terhadap bahasa dan bangsa Melayu. Yang tidak fasih ini ada sikap negatif. Kita dapat fasihkan bahasa Melayu anak-anak kita melalui sekolah satu aliran. Mereka yang bersekolah di sekolah vernakular memang tidak fasih berbahasa Melayu.

Apabila fasih kita nampak sikap mereka lain seperti boleh ajak berunding dan toleransi. Apabila mereka fasih bahasa Melayu, mereka tahu budaya Melayu. Apabila tahu budaya Melayu, tidak ada salah konsep dan stereotaip serta benci membenci dan tidak ada kejutan budaya. 

2 comments:

  1. Saya sokong pandangan Prof Teo dan perlu diterapkan segera dalam sistem pendidikan nasional.

    ReplyDelete