Friday 21 September 2018

Bersatu Jeli dan Ledang tawar jawatan pada Tok Pa


JELI - Bersatu Jeli sedia memberi laluan kepada Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk mengepalai parti itu sekiranya pemimpin berkenaan memilih untuk bersama mereka.

Ketua bahagiannya, Dr Aminuddin Yaacob beliau bersedia melepaskan posisinya bagi membolehkan Mustapa atau Tok Pa mengisi kekosongan jawatan tersebut.

"Saya tidak ada apa- apa kepentingan dengan jawatan ketua bahagian, kerana keutamaan saya hanya untuk berkhidmat kepada rakyat, membangunkan Jeli dan membela nasib mereka di sini.

"Saya tak ada agenda dari berbelas tahun saya bersama Tok Pa sebelum ini, tak ada apa- apa hanya nak berkhidmat kepada rakyat, buka klinik, bagi rawatan percuma kepada rakyat yang tak mampu, kongsi pandangan untuk bangunkan Jeli, sebab kita makan dan minum dah cukup, bukan nak kejar nama, tapi keikhlasan itu penting," katanya kepada media di sini.

Sementara itu Ketua Penaja Bersatu Bahagian Ledang, Solihan Badri sedia menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed yang keluar Umno, kelmarin.
Solihan yang juga Adun Tenang berkata, tawaran itu mungkin dianggap tidak logik oleh sesetengah pihak namun beliau menyifatkan ia sebagai bukti kesediaan dan sokongannya kepada bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu menyertai Bersatu.

“Saya sedia menawarkan kedudukan Ketua Bersatu Bahagian Ledang kepada Tok Pa sekiranya pengundi dan ahli Bersatu Jeli sudah mempunyai ketua bahagian sendiri.

“Saya berharap Tok Pa akan dapat meneruskan khidmatnya kepada kerajaan secara aktif kerana rakyat memerlukan tokoh yang berkredibiliti seperti beliau bagi membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar sewaktu Mustapa menjadi Menteri Kewangan Kedua, kepimpinan tertinggi Bersatu juga perlu memberi perhatian khas jika beliau memohon menjadi ahli dan tidak perlu membiarkannya menjadi ahli Parlimen bebas terlalu lama.

“Saya berharap Tok Pa akan bergerak atas platform parti Bersatu kerana perjuangan parti ini sesuai dengan sikap beliau yang jujur, gigih dan beramanah sepanjang saya berkhidmat dengannya dahulu.

Solihan yang juga Adun Tenang berkata, selain komitmen dan kualiti sebagai bekas menteri kabinet sewaktu pemerintahan BN, Mustapa tidak pernah memberi komen negatif atau memperlekeh PH terutama Bersatu sebelum ini.

“Beliau seorang yang profesional dalam tugasnya sebagai menteri kabinet, tetapi mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak khianat kepada anggota kabinet yang jujur seperti Tok Pa.

“Sebab itu saya sanggup beri jawatan saya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Ledang kepada Tok Pa sekiranya beliau bersetuju menyertai Bersatu kerana saya tahu kebolehan Tok Pa boleh dimanfaatkan untuk Bersatu dan PH,” katanya.

Selasa lalu, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dengan parti itu.

Keputusan tersebut dibuat setelah beliau membuat beberapa pemerhatian terhadap landskap politik negara, hala tuju Umno dan BN serta masa depan negara.

2 comments:

  1. Mulia nya hati anda berdua...tak banyak lagi insan yg tinggal sebaik ini.

    ReplyDelete
  2. Saya sebagai ahli biasa ppbm sangat setuju dan menyokong pandangan ini.. diharap tok pa x berlengah lagi kerana professionalism beliau patut dimanfaatkan apatahlagi sementara beliau masih sihat ini..

    ReplyDelete