Friday 28 September 2018

Umno menuju kejatuhan – Tun M


NEW YORK 27 SEPT. - Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan parti UMNO sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum Mei lepas, akan berhadapan satu kejatuhan.

Berucap dalam satu majlis di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, ramai anggota parti berkenaan mengambil keputusan meninggalkan UMNO kerana mereka kini tidak lagi rasa takut kepada bekas Presiden parti, yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“UMNO kini berpecah-belah, ia hanya menuju kejatuhan. Tiada lagi masa hadapan untuk UMNO kerana orang ramai secara menyeluruh bencikan UMNO,” katanya dalam mesyua­rat dengan anggota Majlis Me­ngenai Hubungan Luar Amerika Syarikat.

Dr. Mahathir berkata, Najib telah melemahkan kepimpinan, malah kedudukan dan rekod parti kerana pengaruh wang.

Jentera pentadbiran juga menjadi lemah, katanya.

“Beliau menggunakan jentera pentadbiran untuk parti­nya, berkempen untuk partinya. Itu sepatutnya tidak dilakukan oleh mereka. Sudah semestinya mereka patut menerima arahan daripada kerajaan yang dipilih tetapi bukan untuk berkempen untuk parti. Itu bukan tugas mereka.

“Sekarang ini saya pula me­nghadapi masalah untuk mengeluarkan mereka ini, yang masih setia kepadanya,” kata­nya.

Menjawab satu soalan, Dr. Mahathir berkata, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang tanpa bertan­ding sebagai Presiden PKR akan menggantikan beliau selepas satu tempoh masa seperti janji yang dipersetujui apabila membentuk gabungan Pakatan Harapan.

“Orang ramai mulai dapat menyesuaikan diri dengan idea bahawa Perdana Menteri juga perlu diubah. Saya berada di sana selama 22 tahun (sebagai Perdana Menteri) sehinggakan orang ramai berfikiran ia tidak akan berubah.

“Tetapi kini mereka melihat beberapa Perdana Menteri telah berubah, jadi jika beliau mengambil alih, ia hanyalah satu perubahan,” katanya dan menambah bahawa menye­rahkan jawatan kepada Anwar selepas dua tahun memegang jawatan Perdana Menteri adalah juga janji beliau.– BERNAMA

1 comment: