Sunday 3 February 2019

PAS pada mulanya berwajah 'singa' akhirnya 'terkulai layu' sindir Husam



KOTA BHARU: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, menyarankan PAS membuat beberapa pilihan berhubung tindakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik tuntutan terhadap Clare Rewcastle Brown berhubung penyiaran sebuah artikel Sarawak Report pada 2016.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu berkata, sama ada plaintif iaitu Presiden PAS sendiri mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan secara terhormat atau pemimpin yang terbabit dengan kes itu mengambil langkah mulia mengundur diri.

Beliau berkata, pemimpin dan ahli yang bermaruah juga boleh mengusulkan sesuatu bagi memulihkan integriti parti dan Islam memandangkan parti itu sentiasa mengaitkannya dengan agama.

“Dari sinilah, jauh di lubuk hati saya, episod ini adalah sebuah tragedi malang. Amat malang. Nama baik sebuah parti yang dulu menjadi pengharapan rakyat sudah tercemar.

“Dalam dunia pemikiran yang jernih, kegagalan mengambil peluang memadamkan dakwaan Sarawak Report perlu diikuti oleh sesuatu tindakan.

“Selepas menghabiskan lebih RM 2 juta wang yang sebahagiannya dipungut daripada ahli dan penyokong, (namun) yang mendapat laba (habuan) hanya peguam di London dan kedudukan laporan Sarawak Report sedikit pun tidak terusik,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Keputusan Abdul Hadi memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown disahkan oleh Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Presiden PAS itu memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa beliau menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Mengulas lanjut, Husam yang juga Ahli Dewan Negara, berkata apabila artikel diterbitkan Sarawak Report berhubung dakwaan pemimpin tertinggi PAS menerima dana berjumlah RM90 juta, peguam yang ke London dengan berwajah ‘singa’ sebelum pulang dengan ‘terkulai layu’, menunjukkan seolah-olah laporan itu benar.

Katanya, rakaman audio seorang pemimpin muda PAS yang membuat pengakuan sememangnya wujud perbuatan menerima wang daripada sebuah parti yang pernah digelar ‘asabiyah’ oleh pemimpin parti bertunjangkan Islam itu gagal mendapat peluang untuk ditolak kesahihannya.

“Pengumuman oleh seorang pemimpin kanan parti itu menjelang PRU lalu bahawa Presiden mereka sudah mendapat kejayaan pertama dalam saman berkenaan, berlalu dibawa angin ‘penyelesaian tanpa perlawanan’ dan ‘penyelesaian tanpa kesudahan’.

“Tajuk lebih penting di sini ialah gejala politik wang yang berjangkit. Ketika negara dan bangsa kita boleh runtuh kerana gejala rasuah dan penyelewengan, yang diharapkan untuk menjadi penyelamat adalah parti alternatif khususnya yang berjenama Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment