Wednesday 23 October 2019

Ronnie Liu jangan terlalu angkuh dan sombong- Sallehudin




Kuala Lumpur, 23 Oktober 2019 Sallehudin Amiruddin Ketua Penerangan Bersatu Selangor berkata Ego merupakan sesuatu yang menghancurkan apa sahaja yang berada di hadapannya dan ini adalah definisi paling sesuai untuk menggambarkan ego Ronnie Liu, ahli jawatankuasa eksekutif induk Democratic Action Party (DAP).

Merujuk pada berita bertajuk 'Ronnie Liu Takes A Swipe At Dr M, Says Pakatan Will Still Be Fine Without BERSATU' yang disiarkan oleh akhbar The Star pada 22 Oktober 2019, saya berpandangan bahawa Ronnie Liu bukan sahaja ego malah bongkak dan bodoh sombong.

Mungkin Ronnie Liu lupa bahawa DAP dan blok pembangkang telah bertahun tahun cuba merebut kerajaan persekutuan sewaktu pilihanraya namun usaha ini tak pernah berjaya sehinggalah YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tampil menyatukan gabungan Pakatan Harapan pada pilihanraya ke-14 (PRU14).

Mungkin Ronnie Liu lupa bahawa Barisan Alternatif pecah pada 2004 di sebabkan DAP dan seterusnya Pakatan Rakyat hancur pada 2008 juga di sebabkan keangkuhan sebilangan ahli dalam parti beliau.

Jika YAB Tun Dr Mahathir tidak berkongsi kepakaran dan pengalaman kepimpinan beliau dengan Pakatan Harapan, mungkin Ronnie Liu dan komrad beliau masih terkapai kapai cuba meraih simpati rakyat terutamanya masyarakat Melayu untuk mengundi Pakatan Harapan yang salah satunya dianggotai DAP.

Terima sahaja hakikat bahawa DAP masih gagal untuk meraih kepercayaan majoriti masyarakat Melayu di Malaysia di sebabkan politikus angkuh seperti Ronnie Liu.

Malah hari demi hari tindak tanduk sebilangan ahli DAP yang cauvinis seperti Ronnie Liu telah merosakkan hubungan baik bukan sahaja antara ahli BERSATU dan DAP malah melunturkan kepercayaan masyarakat Melayu yang mengundi Pakatan Harapan sewaktu PRU14.

Ini jelas bertentangan dengan kenyataan Lim Kit Siang pada 20 Oktober 2019 yang menyeru semua rakyat Malaysia bersatu untuk menentang kleptokrasi dan rasuah, justeru memerlukan hubungan antara parti dalam Pakatan Harapan terus utuh. Malangnya kenyataan Ronnie Liu mungkin akan memusnahkan hasrat ketua beliau sendiri.

Jika sikap ego dan bodoh sombong ahli DAP seperti Ronnie Liu tidak diberi perhatian dan dibendung kepimpinan tertinggi parti beliau, saya berpendapat Pakatan Harapan sebenarnya akan jauh lebih sejahtera tanpa liabiliti seperti DAP.


Sallehudin Amiruddin
Ketua Penerangan BERSATU Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang, Selangor

No comments:

Post a Comment